TAKLIMAT TENTANG PENYALURAN PROGRAM & INISIATIF TEKNOLOGI MAKLUMAT OLEH KELANTAN TECHNOLOGY PARK
Pada 10 Mac 2009, Kelantan Technology Park
Sdn Bhd telah mengadakan satu taklimat yang bertajuk Penyaluran Program
& Inisiatif Teknologi Maklumat bertempat di Dewan Teratai, Kota
Darulnaim, Negeri Kelantan.
Antara
tetamu khas yang hadir dalam taklimat tersebut ialah YB Dr Mohd Fadzli
Dato Hj Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan
Maklumat, Sains Dan Teknologi, YABrs Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman,
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan berapa ahli
jemputan khas yang lain. Manakala peserta undangan yang hadir adalah
terdiri dari wakil badan-badan kerajaan dan syarikat swasta.
Dalam
taklimat tersebut, En Safaei Mangir selaku Naib Presiden Kanan Fineline
Holding Sdn Bhd telah memberi sepenuh penerangan kepada para peserta
tentang tujuan, peranan dan matlamat penubuhan Kelantan Technology Park
sebagai cabang teknologi maklumat kepada Kumpulan Perbadanan Menteri
Besar Kelantan.
Diantara
teras khidmat yang ditawarkan oleh Kelantan Technology Park ialah
menyediakan pusat data, pemusatan sokongan dan penyatuan aplikasi,
pemantapan sistem teknologi maklumat serta pemantapan ketersediaan
(availability) dan keterusan operasi.
Dengan
adanya pembangunan pusat data, ia membolehkan pusat-pusat komputer yang
sedia ada di pejabat-pejabat Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan,
anak-anak syarikat dan Badan-badan Berkanun Kerajaan Negeri dipindahkan
dan ditempatkan di dalam pusat data bagi mencapai tahap pengendalian,
kawalan dan operasi IT yang lebih cekap dan teratur.
Pusat
data ini juga adalah merupakan sebuah penempatan yang memuatkan sistem
komputer dan kelengkapan berkaitan seperti talian komunikasi dan
perkakasan storan data, di mana ia merangkumi kelengkapan yang
berlebihan (abundant) untuk sumber elektrik, sambungan data
telekomunikasi, sistem kawalan (contohnya penghawa dingin, pemusnah
api) dan sistem kawalan keselamatan yang menyeluruh.
Di
dalam taklimat itu juga, peserta didedahkan tentang justifikasi projek
yang merangkumi jadual projek dan rekabentuk pusat data dari pelbagai
sudut. Satu sesi soal jawab telah diadakan di akhir taklimat sebelum
majlis ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari.