BLOGGER JANGAN SYOK SEBAR FITNAH - PRESIDEN PAS
Dari HarakahDaily
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan
Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya jangan syok
menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun
maklumat tersebut difikirkan benar.
Bercakap
sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi
berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang
benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.
"Tak
semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak
semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar
tapi jahat.
"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.
Ada
sesetengah blogger katanya syok apabila diberikan sesuatu maklumat lalu
menyebarkannya tanpa memikirkan kesan negatif tersebut kepada
masyarakat.
Ada dikalangan mereka suka mendapat upah untuk menyebarkan maklumat yang bohong.
Lebih
penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana islam mengajar
kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.
Beliau
turut memberi contoh bagaimana islam mementingkan empat orang saksi
sebelum mengabsahkan sesuatu fitnah, manakala jika tiada empat orang
saksi, sebarang fitnah itu tidak dikira sah biarpun ianya benar-benar
belaku.
Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik katanya
akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita
dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.
"Jihad paling afdal adalah bercakap benar," katanya lagi.
Beliau turut mengakui bahawa peranan blog cukup penting di kurun ke 21 ini.
Ianya telah dibuktikan dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.
Suhubungan itu, melibatkan diri dalam aktiviti blog sekarang ini adalah satu kemestian yang perlu dipelajari.
"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perli di lakukan dengan akhlak," katanya.
Blogger yang disifatkan beliau sebahagian dari dunia media mampu mempertahan mahupun menjatuhkan kerajaan.
(Gambar: ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim lebih dikenali dengan Blogger Cina Islam turut hadir konvensyen blogger hari ini)
"Tulisan
blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela islam,
tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah
guna," katanya.
Para penulis blog juga tegasnya perlu sentiasa
meningkatkan ilmu pengetahuan agar penyebaran sebarang maklumat memberi
manfaat kepada semua.
Manakala penganjuran konvensyen blogger
PAS ini juga katanya langkah terbaik untuk memastikan bloger mempunyai
matlamat jelas dan tahu untuk berperanan secara strategik.
"Oleh kerana kewajipan ini besar, maka adalah lebih baik ianya ditanzimkan (diorganisasikan)", katanya.
Lebih 300 peserta hadir menyertai konvensyen blogger kali ini.
Mereka terdiri daripada blogger ahli PAS dan bloger menyokong perjuangan PAS.
Turut
akan membentangkan kertas kerja hari ini adalah Pensyarah Pengajian
Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga
pengasas zentrum studies dengan tajuk 'Menguruskan Potensi Media Baru
dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi
Menurut Perspektif Future Studies'.
Manakala Pengerusi Lajnah IT
PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin akan membentangkan tajuk 'Blog
sebagai Arena Dakwah dan Bukan Medan Memfitnah'.