Terpaksa

Written by admin. Posted in Kolumnis

Oleh       : Muhammad Najid Abdullah

Ada banyak perkara kita diletakkan dalam keadaan 'terpaksa'. Seolah-olah keterpaksaan itu suatu yang mudah untuk ditunaikan. Padahal secara realitinya keterpaksaan adalah sesuatu yang menyesakkan jiwa dan menyempitkan dada jika hanya disandarkan pada kudrat manusia sahaja.

Namun keterpaksaan akan jadi buah yang manis jika sandarannya Allah dan Rasul. Firman Allah SWT (maksudnya) atas tajuk keterpaksaan yang disandarkan dengan Allah dan Rasul;

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah: 45).

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang sesuai dengan kemampuannya.”  (Al-Baqarah: 286)

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139)

“Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”  (Yusuf : 87) 

“Sesungguhnya setelah  kesulitan itu pasti ada kemudahan”  (As-Syarh: 6)

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya) :

“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri yang tertusuk melainkan semua kejadian itu akan menjadi penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Para sasterawan Arab ada menukilkan (maksudnya) :

“Dalam setiap ujian pasti terselit kurniaan”

Hakikat inilah yang harus ditelan. Adalah lumrah manusia dikejar ujian. Seolah ujian adalah suatu keterpaksaan untuk dihadapi dalam apa jua situasi. keterpaksaan yang akhirnya menjadi rutin yang menumbuhkan iman.

Ada antara kita yang diuji kesakitan. Lalu dengan penuh keterpaksaan menghadapinya. Menguatkan semangat untuk melawan kesakitan lalu pasrah dengan ketentuan setelah berusaha sedaya dan secanggih-canggih teknologi kajian perubatan. Itu barangkali contoh ujian kesakitan yang paling dekat dengan kita hari ini. Tidak perlukan contoh besar, cukuplah jika diserang demam atau selesema, segala anggota dikerah melawannya semaksimum kudrat yang ada dengan ikhtiar ubat-ubatan.

Justeru, adakah mahu dikatakan berserah dalam terpaksa tanpa apa jua usaha penyembuhan adalah dalam lingkaran redha bertawakal?

Jawapnnya tentu sekali tidak. Redha bertawakal tidak pernah menafikan usaha. Apa lagi berlawanan antara satu sama lain. Redha bertawakal dan usaha berikhtiar adalah beriringan. Ia sunnah Rabbaniah untuk manusia berusaha dengan ikhtiar dunia dalam mendapatkan sesuatu dan melengkapkan iman untuk doa dan tawakal.

Untuk mereka yang diuji kesakitan, semoga Allah meringankan kesengsaraan dan menguatkan semangat untuk menghadapinya lalu memberikan kesembuhan. Keterpaksaan yang membuahkan kesempurnaan iman.

Dalam konteks kehidupan sosial, kita juga sering dalam situasi terpaksa. Kita memaksa segenap bendalir dan urat saraf bergerak untuk mendapatkan sesuatu. Adakala kita memaksa minda-emosi agar bersetuju pada perkara yang sebenarnya kita langsung tidak bersetuju. Mahukan contoh?

Ya. Apa daya seorang pekerja mahu menolak arahan ketuanya selama mana arahan itu tidak melibatkan dosa?

Benar. Selama mana arahan itu tidak menyalahi Allah dan Rasul, si pekerja perlu lunasinya jua. Jika enggan berkerat rotan adalah tindakan radikal yang dielak sedang apa jua tindakan tatatertib perlukan kerelaan lantaran kita memilih untuk menerimanya dek keengganan yang kita sendiri aturkan.

Lalu. Dalam soal keterpaksaan sosial apakah dengan hanya diamkan diri atas sesuatu khilaf yang berlaku menjadikan kita dikatakan bersetuju dengan sesuatu perkara?

Tidak. Yang betulnya diam tandanya setuju tetapi mahu dikatakan mutlak bersetuju adalah tidak kena. Misalnya diam tanda setuju untuk khitbah anak dara dibolehkan dengan perantara wali tetapi untuk khitbah janda perlukan kejelasan mahu atau menolak.

Dengan kata lain. Diam belum tentu bersetuju. Adakala ianya hanyalah tidak mahu mengeruhkan laluan di lopak yang berselut.

Dalam terpaksa saya tuliskan jua. Sekian.