Dalam Hidup Ini

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

Oleh    : Muhammad Najid Abdullah

 

Menjaga kepentingan sendiri ternyata lebih disukai dari membantu orang lain. Ia seakan slogan yang dianuti manusia sekeliling. Selama mana perihal hidupnya tidak diganggu selama itulah jua dia enggan peduli. Sukar untuk walau sekadar berfikir untuk keluar dari keselesaan sendiri.

Itulah hakikat kemanusiaan. Sifatnya sebagaimana disebut Azzawajalla Rabbi melalui firman dalam surah Al Ma'arij ayat 19 – 35 yang bermaksud;

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang - Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum - Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta); Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya); Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya; Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela; Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi); Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.”

Nah. Sentap jugakan? Semasa copy & paste firman Allah ini, saya juga terasa dipukul-pukul. Tidak perlukan penjelasan berjela-jela. Memadai petikan firman di atas untuk kita berfikir bagaimana kita di dunia seadanya.

Betapa kehidupan sementara ini telah menjauhkan kita dengan kesedaran akan hakikat kejadian. Hanyasanya kita adalah hamba kepada Yang Maha berkuasa jua. Tidak lebih dari sekudrat tulang sendi fikiran yang diberi upaya mengikut garis takdir dan keperluan rezeki yang tidak sedikitpun lari dari keizinan-Nya jua.

Ya. Jika hidup hanya untuk memenuhi keperluan sendiri, atau lagi tragis kiranya menikmati hidup hanya dengan menyedut upaya orang lain, atau juga paling malang jika hidup menidakkan hak orang lain hanya kerana mempertahankan sesuatu yang tidak terhak kita atasnya; apa beza manusia dan makhluk bumi selainnya. Haiwan barangkali. Apa beza?

Syair Arab pula ada menitipkan falsafah;

Sesunggunya dunia ini fana # tiadalah bagiku ia kekal”

“Sesungguhnya dunia bagaikan lautan # di dalamnya ada ikan kecil, juga paus-jerung.”

Malanglah menjadi manusia menghuni bumi kiranya semasa hayat yang ada di dunia, fikirnya hanya untuk mengupaya diri sendiri tanpa pernah walau sedetik memikirkan mereka yang lain. Apa salah jika membantu dalam erti kata kerjasama, bantu membantu. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan bermasyarakat sekecil pejabat ini.

Yang silap sama dibetulkan. Yang sendat sama dilonggarkan. Yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing pula. Mencari titik perbezaan dan meraikkanya lebih bermakna. Bukan mencari titik perbezaan lalu menunding salah itu-ini ke depan lalu mendabik dada akulah jua, akulah jua yang hebatnya. Walhal sebenarnya dabikan itu tidaklah ke mana.

Hebat kita hanya kerana kerjasama.

Oh!
Andai bersilang kaki

Tangan masih perlu bersendi

Jemari juga berselisih tari

Sedang bibir meratap zikri

Hati pula menggetar nubari

Besarnya amanah ini

Sebagai khalifah bumi

Ampuni kami Ya Rabbi.

Sekian. Maafkan saya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa