Relakan Jiwa

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

(Belasungkawa Untuk Suami Pn Norleyne Hamzah - Staff Pinjaman PMBK ke Pejabat MB - yang telah kembali ke Rahmatullah petang tadi)

Oleh : Muhammad Najid Abdullah

“Ku relakan jiwa
untuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkan setiap sepi hatiku

Seandainya waktu
Tak pernah pertemukan aku dengan dirimu
Akan kubiarkan mati hatiku selamanya
Sehingga kau datang membangunkan aku…”

Barangkali dua rangkap perenggan di atas hanyalah sebuah lagu. Tidak lebih dari lirik lagu yang dinyanyikan oleh Hazama. Ia menggambar kelodak jiwa yang sering disebut kasih cinta.

Soal sebegitu telah sering digambarkan dalam gubahan seni. Manusia sering dilalikan dengan khayalan cinta manusia kekal abadi, walhal sebenarnya kehidupan sebenar di dunia ini tidak lebih daripada jangka waktu yang telah ditetapkan.

Firman Allah SWT dalamSurah Ali Imran:

Maksudnya: “dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, Iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah); dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan Akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan Akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (Surah Ali Imran: ayat 145)

Apalah daya manusia mahu menolak ajal ketentuan. Sedalam mana cinta, sekejap mana kasih, tidak akan mungkin boleh membalikkan ajal, menggerakkannya walau satu hun awal atau lewat. Tidak berdaya kudrat manusia menentang fitrah yang disunnahkan.

Mengingati kematian sebenarnya bukanlah menjadi alasan tidak berusaha. Hikmah bijaksana Allah Azzawajalla menjadikan kematian suatu rahsia yang tidak diketahui adalah tepat dan rahmat untuk manusia itu sendiri. Seolah kematian adalah paling dekat dengan setiap yang bernyawa.

Siapa boleh menyangka mereka yang baru sahaja kita santuni boleh dengan tiba-tiba pergi selamanya meninggalkan dunia ini. Disebabkan tidak tahu bila dan dimana, malah cara bagaimana manusia akan mati, akan menjadikan manusia tetap di landasan benar dalam setiap kerja-buat yang dilakukan.

Manusia dilahirkan untuk memakmurkan bumi dengan segala bentuk usaha. Segala apa yang dikerjakan perlu dalam lingkaran kebenaran dan kesungguhan kerana segalanya akan diaudit Allah di Akhirat sana.

Bagaimana mungkin seseorang yang diaudit akan mempersiakan segala kerja buatnya nanti?

Apakah wajar untuk seseorang berserah sahaja dengan kerja yang terbengkalai, malah telah diketahui silapnya tetapi masih teruskan juga dengan kesilapan yang sama hingga ke akhirnya?

Jika kita telah tahu dan sedar bahawa suatu hari nanti manusia semuanya tidak mampu menongkat langit dan menunjang bumi, menahan seuatu yang bernama ajal-maut kematian, bagaimana mungkin kita mampu untuk hidup senang-lenang tanpa memastikan bekalan ke Akhirat sana nanti?

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian ia menghidupkan kamu; setelah itu ia mematikan kamu, kemudian ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadanya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Surah Al-Baqarah; ayat 28)


Akhirnya, lakaran hidup memerlukan kita sedar bahawa kematian adalah hampir dengan setiap insan yang bernyawa. Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, relakan pemergian mereka menemui Tuhan. Kerana kita juga pasti akan ke sana. Tunggu masa.

Sekian, terima kasih.

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa