Ketika Kita...

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

Oleh : Muhamamd Najid Abdullah

Sebagai manusia ketika kita merasa gundah dengan peristiwa duka, lupakah kita ada insan lain yang lebih terluka. Tersiat dan menderita. Apalah sangat duka kita yang seketika.

Sekalipun ada yang bernestapa bertimpa-timpa, jika dibanding dengan mereka yang hilang upaya seumur hidup, apalah sangat luka kita itu.

Sebagai pekerja ketika kita merasa tertekan dengan segala beban kerja yang menghempap kepala kita, lupakan kita bahawa hidup ini tidak lebih dari sekudrat sendi tenaga dan benak idea yang kita sebenarnya mampu mengatasinya.

Apalah sangat beban kerja jika dibanding dengan kewajipan yang seharus kita tekuni, juga mereka yang hilang terus upaya berfikir lalu menjadi insan istimewa bernama “gila”.

Ketika kita berkata bahawa kitalah yang paling letih dengan timbunan kerja, penat dengan perselisihan dan kalut dengan kerja seharian, lupakah kita hakikatnya kita hanyalah meminjam jasad dan bumi ini untuk sebenarnya bahagia di Akhirat sana.

Kita lupa letih yang kita tanggung sebenarnya terkandung pahala untuk kita persembahkan di hadapan Allah nanti. Penat yang kita hadapi dengan pelbagai ragam manusia sekeliling hanyalah segumpalan kecil ujian agar kita jadi lebih kuat. Sabar dan toleransi, malah apa jua tindakan kita dalam berdepan perselisihan akan diaudit di Akhirat nanti.

Ada kala mengalah lebih baik. Ada juga ketika berdepan adalah cara terbaik sebagai penyelesaian. Ada kala teruskan perselisihan dengan slogan “agree to disagree” adalah jalan terbaik. Kaedahnya terpulang. Kalut kita dengan kerja seharian pastinya akan juga dihitung pahala.

Sebagai insan biasa ketika kita merasa sukarnya hidup seharian yang senantiasa kita dijerut leher dan ditutup mulut lantas tidak mampu kita bersuara, apa lagi mengangkat muka menyatakan kebenaran, lupakah kita Yusof AS pernah dihumban penjara atas sebab yang bukan dari silapnya.

Lupakah kita Musa AS pernah dihanyutkan air sebagai helah untuk menyelamatkannya. Juga pernah dibuang negeri atas usahanya meleraikan perkelahian lantas terbunuh salah seorang dari yang dileraikannya.

Ismail AS pernah patuh menyerahkan lehernya untuk disembelih Ibrahim AS. Hanya kerana yakin janji Allah tidak sia-sia. Dan pastinya Rasulullah SAW punyai sejarah kesedihan dan kemuncaknya tergelar tahun kesedihan.

Sebagai muslim lagi mukmin ketika kita menderita atas musibah demi musibah yang pada hemat kita tidak tertanggung diri menanggungnya, lupakah kita akan erti sebuah kehidupan. Kita hanya hamba-Nya. Tidak lebih dari sekujur jasad dan segumpal otak untuk kita mandiri atas muka bumi lalu Allah mahukan kita menjadi khalifah-Nya.

Kita semua adalah ahli yang menganggotai petugas memakmurkan bumi. Merdeka kita di bumi Allah ini dengan cara masing-masing. Tertanggung segala beban bumi atas upaya kudrat sebagaimana firman-Nya (maksudnya):

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…” (Al-Baqarah: ayat 286).

Suatu masa dahulu, ditempat kerja lama, saya diajukan soalan yang bersertakan penceritaan. Kisah kemurungan lantaran penat dengan kerenah suami dan anak-anak. Soalannya bolehkah mohon cerai?

Saya pastinya perlu cermati masalah.  Saya bukan kadi apa lagi diberikan kuasa rasmi jabatan agama. Soalan bolehkah itu tidak saya jawab. Yang mampu saya kongsikan hanya lah dengan berkata;

“Ketika kita berselisih suami isteri, menyalahkan antara satu sama lain, lupakah kita ada ramai lagi insan lain yang belum diketemukan jodoh. Ketika kita mengadu keletihan menguruskan anak-anak, , lupakah kita masih ramai yang belum dikurniakan cahaya mata.”

Saya sambung lagi, yang kebetulannya saya baru kehilangan anak berusia dua hari pada ketika itu. Anak sulung dengan masalah ‘congenital heart disease’ yang meninggal selepas dua hari dilahirkan. Saya cakapkan padanya;

“Bayi kecil pertama yang saya dukung adalah jasad anak saya tanpa nyawa. Jenazah pertama yang saya mandikan adalah jasad anak kandung yang tidak sempat saya hadhanahkan di ribaan. Beruntunglah jika anda ada segala-galanya. Soal letih atau tertekan dengan segala kejadian ini tidaklah boleh menafikan kebesaran nikmat Azzawajhalla Rahman.”

Ertinya ketika kita keliru antara ujian dunia dan capaian Akhirat, eloknya kita kembali kepada makna syukur.

Sekian. Salam Rejab

 

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa