HIKMAH UTAMA BERSEDEKAH

Ditulis oleh Super User. Posted in Kolumnis

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

*HIKMAH UTAMA BERSEDEKAH.*

Bersedekah merupakan salah satu kewajiban di dalam ajaran Islam yang diperintahkan Allah SWT kepada orang berharta yang disebutkan di dalam al-Qur'an. Salah satu ayat yang menyuruh kita bersedekah adalah dalam Surah At-Taubah, ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Sedekah dalam Islam ada dua hukum.

*1. Sedekah wajib (zakat fitrah dan zakat harta).*

*2. Sedekah Sunnah (infak, wakaf, hadiah dan sebagainya).*

Allah SWT memerintahkan sedekah kepada hambaNya yang memiliki harta dan kekayaan bertujuan untuk:

*1. Mengekalkan Dan Menambahkan Keberkatan Harta.*

Harta benda yang kita miliki sifatnya tidak kekal menjadi

Milik kita untuk selamanya, tetapi akan menjadi milik orang lain selepas kita meninggal dunia. Harta yang menjadi milik kita sebenarnya adalah harta yang disedekahkan kepada orang lain pada jalan Allah SWT. Maka sedekah bertujuan untuk mengekalkan harta serta menambah keberkatan harta.

*2. Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT.*

Orang yang dermawan akan dicintai oleh Allah SWT. Orang yang bakhil dibenci oleh Allah SWT dan jauh dari syurga. Oleh kerana itu untuk mendapatkan kecintaan Allah SWT, maka bersedekahlah.

*3. Untuk Menjalinkan Persaudaraan.*

Orang yang rajin membantu orang lain dengan sedekah yang ikhlas akan dapat menjalin rasa persaudaraan yang kukuh. Jasa orang yang pemurah tidak akan mudah dilupakan. Dari sinilah akan wujudnya ikatan kasih sayang dan ukhuwah dengan baik.

*4. Membersihkan Hati dan Jiwa Manusia Dari Sifat Tercela.*

Sedekah yang kita lakukan akan dapat membersihkan hati dan jiwa manusia dari sifat mazmumah seperti sifat sombong, ujub, riya', kedekut, boros dan sifat negatif yang lainnya. Kerana harta yang kita miliki ada sebahagiannya milik orang lain. Maka dengan bersedekah akan membersihkan hati dan jiwa manusia dari sifat yang tercela.

*5. Menghapuskan Kejahatan.*

Ramai orang yang kaya begitu sayang membelanjakan hartanya pada jalan sedekah untuk agama yang dicintanya. Akan tetapi begitu mudah membelanjakan dan menghamburkan wang pada perkara yang kurang berfaedah seperti mengadakan parti-parti, jamuan makan istimewa, konsert yang melekakan. Akhirnya menimbulkan kecemburuan pada orang lain untuk melakukan kejahatan. Maka dengan sedekah akan menolak kejahatan yang akan datang.

*6. Menjauhkan Bala Bencana.*

Manusia yang rajin bersedekah akan dapat menolak bala bencana di dunia dan di akhirat. Hidup dalam keadaan aman. Oleh kerana itu bersedekahlah agar Allah SWT menjauhkan kita dari bala bencana yang akan menimpa.

Ya Allah berikan kepada kami rezeki yang halal dan berkat. Serta jadikan rezeki yang Engkau berikan kepada kami sebagai perantara kepada kami meraih pahala serta mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Aamiinn !!!!!!

Wallahu A'lam...

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazzakumullahu khairanjaza’..

Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.

Wassalam...

MOHD MUHAIMIN MAZLAN

PEGAWAI PEMBANGUNAN MODAL INSAN