RASUAH ITU HARAM

 

Di dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba menyatakan bahawa ‘ini bukan rasuah, tapi upah'. Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Al-Baqarah : 188)

Disebutkan dalam hadis yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)" (Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

 

Takrif Rasuah dan Sogokan:

  1. Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, baucar, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
  2. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
  3. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
  4. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, atau potongan;
  5. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
  6. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan
  7. Apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian

 

Jenis Kesalahan Rasuah:

  1. Meminta/Menerima Rasuah: Sesiapa yang meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
  2. Menawar/Memberi Rasuah: Sesiapa yang meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
  3. Membuat Tuntutan Palsu: Sesiapa yang mengemukakan suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir palsu kepada syarikat / majikannya mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.
  4. Menyalah guna Jawatan/Kedudukan: Mana-mana pegawai menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu- nya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

 

Rasuah Sebagai Pengkhianatan

Bagi sesiapa yang bekerja di sektor perniagaan dan politik terutamanya, kiranya tidak sukar untuk menemui atau mendapati salah satu antara empat kategori tadi berlaku. Ingatlah sekali lagi beberapa penekanan Islam berikut :


    1. Nabi Muhammad s.a.w bersabda : "Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)" (Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

 

    1. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata: "Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda : "Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)" (Al-Bukhari & Muslim )

 

    1. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah s.a.w telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi kepada dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

      Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

      "Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" (Imam Malik, Al Muwattha':1450).

 

  1. "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" (Riwayat Ahmad).

Oleh yang demikian, tidak kira sama ada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperoleh dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram.

Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta'zir.

Ta'zir yang berat perlu dikenakan kepada pesalah-pesalah ini agar ia benar-benar menjadi pengajaran bagi mereka dan menjadi pencegah kepada umat Islam lainnya. Dengan tidak diterapkannya sistem uqubat Islam pada hari ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dengan kes rasuah masih mampu senyum dan kelihatan tenang semasa menghadapi perbicaraan di mahkamah dan langsung tidak kelihatan rasa kesal dan takut pada wajah-wajah mereka dengan kekejian yang mereka lakukan.

 

Oleh:

MOHD RAZMI YAACOB

PEGAWAI PEJABAT KPE

Kumpulan PMBK

 02b  04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa