sinar zakieWujud pusat aktiviti setempat
SINARHARIAN, 2 Disember 2014

KOTA BHARU - Pemaju perumahan di negeri ini disarankan menyediakan satu pusat aktiviti setempat di setiap kawasan kediaman yang dimajukan agar dapat dijadikan platform menjalin silaturahim dan bermusyawarah sesama warga taman.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood, berkata pusat aktiviti itu seperti masjid atau ruang khas untuk dijadikan tempat berkumpul, penting demi perkembangan masyarakat setempat.

“Kita mahukan pembangunan berfokus, bukan sekadar membina dan menjual rumah, sebaliknya kita mahu membawa mereka kepada kehidupan yang boleh memberi ketenangan hidup, buat selari dengan slogan Rumahku Syurgaku.

“Kita melihat konsep dibangunkan melalui projek perumahan Wadi Iman di Kok Lanas sangat baik dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas,”katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Wadi Iman di Kok Lanas, semalam.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri menyambut baik konsep digunakan Wadi Iman sehingga berjaya menyusun satu pelan pembangunan dilengkapi masjid, ruangan pendidikan dan pra sekolah.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, walaupun kerajaan negeri tidak mensyaratkan perkara itu atas faktor akan menyebabkan peningkatan kos, namun pemaju perumahan lain di negeri ini diharap akan mengambil inisiatif merealisasikannya pada masa akan datang.

“Mungkin pemaju lain boleh mewujudkannya sebagai salah satu kerja sosial mereka, namun pada peringkat permulaan ini, kita cuba jayakan dalam kalangan syarikat pemaju perumahan di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Dalam majlis tersebut Abdul Fattah turut menyempurnakan gimik penyerahan replika kunci kepada lima pembeli.

Desa Wadi Iman adalah salah satu projek hartanah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dibangunkan dalam dua fasa di Mukim Kok Lanas.

Ia menawarkan 108 unit teres dua tingkat, 136 unit teres setingkat, 16 unit rumah kedai dua tingkat dan 128 unit rumah mampu milik.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa