mbRumahBina segera rumah penempatan kekal
SINAR HARIAN, 22 Januari 2015

MACHANG - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan membina segera 52 buah rumah penempatan banjir kekal di Desa Rahmat, Kampung Berangan Mek Nab, di sini, semalam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebanyak 600 buah rumah akan dibangunkan kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir yang teruk terjejas baru-baru ini manakala selebihnya akan dibina kerajaan Pusat.

 

Katanya, pembinaan rumah penempatan banjir kekal tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan beberapa jajahan di negeri ini dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Bagi yang tiada tanah hak milik, mereka akan ditempatkan di penempatan banjir kekal ini manakala bagi yang ada tanah, kita akan bina di atas tanah milik mereka dan pembinaan ini akan dilaksanakan segera secara berperingkat.

“Rumah kekal ini bernilai antara RM40,000 hingga RM48,000 bergantung kepada lokasi pembinaan yang mana mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya kepada pemberita selepas majlis Peletakan Batu Asas Penempatan Mangsa-Mangsa Banjir 2014 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan exco kerajaan negeri serta Ketua Jajahan Machang, Mohd Zainudin Mohamed. Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berharap mangsa banjir tabah menerima dugaan ini seterusnya jadikannya sebagai dorongan bagi bina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, selain rumah, pihaknya juga bakal membangunkan pusat ekonomi setempat bagi membangunkan ekonomi penduduk di Desa Rahmat tersebut selain membina sebuah musalla.

Tambahnya, selain rumah ibadah, musalla tersebut juga boleh dijadikan pusat aktiviti dalam usaha membangunkan penduduk di penempatan banjir itu.

Pada perkembangan yang lain, beliau turut meluahkan kekesalannya apabila ada pihak yang cuba memburukkan keadaan ketika banjir dengan menyebarkan berita palsu melibatkan beberapa kematian di negeri ini.

Katanya, media sosial sewajarnya dimanfaatkan untuk kebaikan dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu yang menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa