tabung banjirBanjir: Tabung Pasti Kelantan kumpul lebih RM400,000
HARAKAH DAILY, 27 Januari 2015

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Pelancaran Tabung Pemulihan Pasti Kelantan di Pusat Latihan Pasti Kelantan, Kedai Buluh, Kota Bharu tengah hari tadi.

"Khusus penghargaan saya rakamkan kepada semua penyumbang yang telah menunjukkan semangat solidariti yang tinggi kepada Pasti Kelantan bagi menjayakan agenda pendidikan Islam di peringkat pra sekolah di negeri ini," tulis Pengarah Jabatan Pendidikan Pasti Negeri Kelantan itu menerusi facebook.

Menurutnya, jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan ialah RM407,574.72.

Tulisan beliau seterusnya.

Mewakili seluruh sahabat-sahabat di dalam Pasti Kelantan, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyumbang terutama Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan Pasti Selangor yang muncul sebagai penyumbang terbesar melebihi RM100,000 melalui kutipan dari Dewan Pemuda PAS Kawasan di seluruh negeri tersebut. Sekalung penghargaan kepada Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim.

Tidak lupa kepada kerajaan negeri Kelantan melalui agensi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Tabung Serambi Mekah, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) serta Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) yang turut berkongsi di dalam menjayakan agenda Pasti Kelantan.

Khusus kepada sahabat-sahabat exco Pemuda PAS Malaysia yang sanggup dari jauh terutama Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Khalil Abdul Hadi yang hadir bersama sumbangan dari Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Pemuda PAS Malaysia. Terima kasih juga kepada Pasti Malaysia yang turut hadir menyuntik semangat dan memberikan sumbangan.

Tidak ketinggalan DPP dan Pasti Negeri yang hadir bersama sumbangan khusus antaranya ialah DPP Wilayah Persekutuan, Pahang dan Pulau Pinang serta Pasti Negeri Kedah. Serta semua pihak yang tidak disebut, saya yakin keikhlasan tuan sangat mahal nilainya.

Hakikatnya, masih banyak lagi pihak yang telah menyumbang sebelum ini. Mereka turun ke kawasan-kawasan mengerah keringat dan tenaga membaiki Pasti yang terjejas samada di dalam mahupun di luar pengetahuan kami.

Untuk itu, kami hanya mampu ucapkan jazakumullahu khairan kathira. Bahkan boleh dikatakan semua Pasti Negeri di negara ini telah turun ke kawasan-kawasan angkat untuk menyumbang keperluan dan juga tenaga bagi menjayakan agenda suci ini.

Di pihak Pasti Kelantan, tumpuan dan perancangan akan diutamakan kepada program pemulihan Pasti yang terjejas. Di antara yang telah dilaksanakan ialah pengagihan uniform percuma kepada setiap pelajar di Pasti yang terjejas yang melibatkan kos hampir RM100,000. Menyusul selepas ini ialah sumbangan saguhati sebanyak RM500 kepada setiap guru yang menjadi mangsa banjir yang dianggarkan berjumlah sekitar 100 orang.

Insya-Allah kutipan akan diteruskan lagi bagi mencapai sasaran RM1.8 juta iaitu anggaran asal kemusnahan dan kerosakan yang dialami oleh Pasti seluruh Kelantan akibat banjir besar ini. Saya optimis jika jumlah ini berjaya dicapai, pemulihan total dapat dilaksanakan ke atas semua 136 Pasti yang terjejas.

Sekali lagi terima kasih, jazakumullahu khairan kathira. Teruskan menyumbang di akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 03102010002868 di atas nama Pasti Negeri Kelantan.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa