Jom Cakna KomunitiKesedaran Masyarakat Masih Kurang
SINAR HARIAN, 9 Februari 2015

KOTA BHARU – Kesedaran masyarakat Kelantan dalam mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya tiga tahun sekali masih rendah walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, bermula pada 2009 sehingga Disember tahun lalu hanya 18,000 atau dua peratus premis yang mengosongkan tangki septik menggunakan perkhidmatan Majaari Services Sdn Bhd.

Menurutnya, angka tersebut amat sedikit berbanding anggaran jumlah kediaman tahun lepas sebanyak 359,000 daripada 1.8 juta penduduk Kelantan.

“Tahun ini kita sasar 30 peratus pemilik kediaman akan mengosongkan tangki septik menggunakan khidmat Majaari, tangki perlu dikosongkan tidak lebih dari tiga tahun sekali kerana bimbang mendatangkan pencemaran kepada air bawah tanah.

“Majaari akan lebih lebih agresif pada tahun ini, dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan diguna pakai untuk mana-mana premis yang enggan berbuat demikian. Ini bagi menjamin fasa kehidupan yang lebih baik kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ‘Jom Cakna Komuniti’ dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dekat Taman Desa Kujid.

Turut hadir, Pengurus Majaari Services Sdn Bhd, Abdul Rashid Mohd Jusoff, Yang Di Pertua MPKB-BRI, Zamri Ismail, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Sanusi Othman dan Pengarah SPAN Wilayah Timur, Mohamad Nasir Mahmood.

Tambahnya, ‘Jom Cakna Komuniti’ dan pelancaran Kempen Sedut dan Menang 2015 diharap memberikan pendedahan kepada penduduk pentingnya penjagaan kesihatan, kebersihan alam sekitar dengan mengosongkan tangki septik.

“Ia selaras dengan kehendak kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan bersih dan sihat. Sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini gunakan air bawah tanah sebagai sumber air, lebih membimbangkan kebanyakan tangki septik terletak dekat telaga sumber air harian mereka,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu prihatin terhadap sistem pembetungan masing-masing agar kualiti alam sekitar khususnya kebersihan air sungai dan bawah tanah lebih terpelihara.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa