Merangka Strategi Memantap Organisasi”
“Merangka Strategi Memantap Organisasi” telah dipilih sebagai tema bagi Program Perancangan Strategik (Strategic Planning) PMBK bagi tahun 2011. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran PMBK telah diadakan pada 7 hingga 11 Safar 1432H bersamaan 13 hingga 16 Januari 2011 bertempat di Tasik Kenyir Resort & Spa, Terengganu. Seramai 35 orang peserta menyertai kursus ini yang terdiri daripada pengurus dan eksekutif PMBK serta anak-anak syarikat.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk merangka strategi bagi memantapkan PMBK di mana strategi yang berkesan amat penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Objektif lain adalah untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan, teknik dan kemahiran dalam bidang perancangan dan pengurusan strategik supaya mereka berupaya membawa perubahan ke arah pencapaian perkhidmatan yang cemerlang di dalam PMBK. Disamping itu, pendedahan juga diberikan kepada para eksekutif sebagai latihan awal kepada mereka dalam memainkan peranan membangunkan PMBK. Sikap kerjasama turut diterapkan apabila para peserta berganding bahu dalam memberikan idea menyelesaikan tanggungjawab dan tugas yang telah diberikan oleh fasilitator terlatih.
Sepanjang tempoh program ini, pelbagai modul telah dibincangkan bersama bagi mencapai objektif program iaitu memantapkan organisasi serta kakitangannya. Malah, program seumpama ini tidak akan berhenti di sini dan akan diteruskan dari semasa ke semasa demi kebaikan PMBK dan anak-anak syarikat.

