PERUTUSAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN - MAULIDUR RASUL 1447H

12 RABIULAWAL LAHIRNYA INSAN MULIA YANG TELAH MENGUBAH DUNIA
Segala puji dan puja hanya kepada Malikul Dayyan Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan besar rasul akhir zaman Nabi Muhammad SAW, para sahabat r.a. serta seluruh ahli keluarga baginda
Dunia menjadi gelap gelita setelah Nabi Isa a.s. diangkat ke langit apabila berlakunya komplot cubaan membunuh baginda (surah an-Nisa’: 156). Dunia ini ketiadaan Rasul dalam tempoh hampir 600 tahun sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad SAW menjadi nabi dan rasul yang terakhir untuk seluruh ummah manusia sehinggalah dunia ini kiamat.
Tanggal 12 Rabiulawal (tahun gajah) menjadi detik bersejarah dalam tamadun dunia apabila lahirnya seorang pemimpin agung yang bakal mencorak dunia dari zaman kegelapan kepada zaman cahaya. Ini diakui sendiri oleh sarjana barat seperti Michael H. Hart yang telah menghasilkan buku The 100: A Ranking of The Most Influential Persons in History, seorang sarjana barat (bukan beragama Islam) yang telah meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh di dunia.
Syeikh Abul A’la Al-Maududi seorang tokoh sarjana Islam yang terkenal pula menyatakan terdapat perbezaan antara Rasulullah SAW berbanding dengan pemimpin dunia yang lain. Ini kerana pemimpin dunia lain seperti Napoleon Bonaparte (Perancis), George Washington (Amerika), Mahatma Gandhi (India), Qin Shi Huang (Maharaja Pertama China) dan lain-lain, mereka hebat dan boleh dicontohi daripada aspek kepimpinan sahaja.
Sebaliknya, Rasullah SAW boleh dicontohi merangkumi semua aspek kehidupan termasuk kepimpinan dan aktiviti dalam kehidupan baginda yang disebut sebagai sunah Rasulullah SAW. Ianya boleh dicontohi oleh semua manusia sama ada Muslim atau bukan Islam. Hal ini disahkan pula oleh As-Syahid Syeikh Said Ramadhan Al-Buti, penulis kitab Fiqh Sirah Rasulullah SAW bahawa baginda boleh menjadi contoh kepada sesiapa sahaja.
Berikut merupakan 10 Sifat Rasulullah SAW yang telah mengubah dunia:
-
Aqidah yang benar
-
Akhlak yang terpuji
-
Berpengetahuan luas
-
Sentiasa menepati masa
-
Berperancangan strategik
-
Kuat/sihat tubuh badan
-
Mampu berdikari
-
Ibadat yang sahih
-
Sentiasa bermujahadah
-
Memberi manfaat kepada orang lain
Sifat-sifat ini sepatutnya perlu dimiliki oleh setiap individu Muslim kerana ia manifestasi daripada keperibadian baginda Rasulullah SAW yang mulia dan ternyata telah berjaya mengubah dunia.
Akhirnya, semoga kita semua berusaha untuk memiliki 10 sifat baginda ini dan juga mewariskannya kepada zuriat kita supaya menjadi ummah dan pekerja yang bukan sahaja cemerlang di dunia bahkan di akhirat, insya-Allah.
Selamat menyambut Maulidul Rasul 1447H!
Salam Maulidul Rasul,
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN
PERBADANAN MENTERI BESAR KELANTAN




