PERUTUSAN KPEK PMBK AIDILADHA 1447
PERUTUSAN KPEK PMBK
PENGORBANAN YANG MENGUNTUNGKAN DUNIA DAN AKHIRAT


Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat r.a serta seluruh umat Islam yang istiqamah meniti jalan kebenaran hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, sebuah perayaan agung yang sarat dengan pengajaran tentang erti pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Sesungguhnya, pengorbanan merupakan sunnatullah dalam kehidupan. Tiada kejayaan yang hakiki dapat dicapai tanpa pengorbanan masa, tenaga, fikiran dan komitmen yang berterusan. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail pula menjadi simbol agung ketundukan seorang hamba kepada perintah Allah SWT serta kekuatan sebuah keluarga dalam mempertahankan iman dan amanah.
Antara hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban ialah:
-
Kejayaan menuntut pengorbanan daripada semua peringkat, sama ada kepimpinan tertinggi mahupun seluruh warga kerja dalam sesebuah organisasi.
-
Semangat kerja berpasukan dan saling mempercayai amat penting dalam merealisasikan cita-cita besar sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS bersama keluarganya.
-
Keikhlasan, integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab akan membawa keberkatan serta kejayaan yang bukan sahaja dinikmati di dunia, bahkan turut menjadi bekalan di akhirat.
Dalam konteks organisasi korporat, pengorbanan seluruh warga kerja dari sudut masa, tenaga dan komitmen amat diperlukan bagi memastikan kecemerlangan dapat dicapai secara berterusan. Apabila setiap amanah dilaksanakan dengan penuh ihsan, mematuhi syariat serta berlandaskan nilai integriti yang tinggi, maka insya-Allah kejayaan yang diperoleh bukan sahaja membawa manfaat kepada organisasi, bahkan turut menjadi amal soleh yang diberkati Allah SWT.
Justeru, marilah kita bersama-sama menghayati falsafah ibadah korban ini dalam memperkukuhkan budaya kerja cemerlang, tadbir urus yang berintegriti serta semangat kebersamaan demi memartabatkan PMBK sebagai sebuah institusi korporat yang unggul, disegani dan mampu mengharumkan nama kerajaan negeri serta rakyat negeri ini seluruhnya.
Akhir kata, saya dan seluruh warga PMBK mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1447. Semoga Aidiladha ini meningkatkan keimanan, ketakwaan dan semangat pengorbanan dalam diri kita semua serta segala amal kebajikan diterima dan diberkati oleh Allah SWT. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.
DR. MOHD ZULKUFLI ZAKARIA
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Perbadanan Menteri Besar Kelantan




