PERUTUSAN DR. KPEK PMBK - Bersama Menjana Nilai
Bersama Menjana Nilai
Assalamualaikum.
Salam sejahtera dan salam hormat kepada seluruh warga kerja PMBK.

Setiap hari kita hadir ke tempat kerja dengan satu tujuan iaitu untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada kita. Namun hari ini, saya ingin kita semua berhenti sejenak dan berfikir.
Apakah nilai sebenar yang kita hasilkan daripada setiap usaha yang kita lakukan?
PMBK bukan sekadar sebuah organisasi. Kita adalah sebahagian daripada nadi pembangunan negeri. Setiap keputusan dan tindakan kita akan memberi kesan kepada ekonomi, rakyat dan juga masa depan Kelantan. Tetapi realitinya, dalam kesibukan kita bekerja, kadangkala kita terlepas pandang satu perkara penting. Adakah setiap usaha kita benar-benar menjana nilai? Atas sebab itu, hari ini kita memperkenalkan satu pendekatan baharu iaitu “Bersama Menjana Nilai”.
Saya ingin tegaskan, inisiatif ini bukan bermaksud setiap jabatan perlu menjana keuntungan semata-mata, tetapi setiap jabatan mesti menyumbang nilai. Nilai itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk melalui penjanaan hasil, penjimatan kos dan peningkatan kecekapan atau melalui sumbangan strategik yang memberi impak jangka panjang.
Tidak kira anda di bahagian operasi, kewangan, komunikasi, pentadbiran atau teknikal; peranan anda penting, jabatan anda penting dan sumbangan anda memberi kesan kepada keseluruhan prestasi PMBK.
Perubahan ini tidak memerlukan sesuatu yang besar untuk bermula. Saya hanya ingin kita semua mulakan dengan satu perkara yang mudah. Fikirkan satu cara bagaimana jabatan anda boleh menjana nilai.
Satu idea. Satu penambahbaikan. Satu langkah ke hadapan.
Jika setiap daripada kita mengambil tanggungjawab ini, insya-Allah kita bukan sahaja akan memperkukuh PMBK tetapi kita juga akan menyumbang kepada pembangunan negeri yang lebih mampan dan berdaya saing.
Marilah kita bersama-sama menghayati dan melaksanakan semangat ini.
PMBK, bersama kita menjana nilai.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DR. MOHD ZULKUFLI BIN ZAKARIA
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Perbadanan Menteri Besar Kelantan






