Berita

BERITA_TERKINI

Air kotor: Penduduk kesal laporan Utusan
Harakahdaily.net | Aslani M

 

air_1RANTAU PANJANG, 5 Dis: “Kami tidak ada masalah untuk mendapatkan air bersih. Tidak pula berlaku ada kekuningan seperti disebut dalam sebuah akhbar.

”Bekalan air yang disalur Air Kelantan Sdn Bhd tidak bermasalah, kalau setahun mungkin ada sekali dua terputus bekalan sekejap,” kata pekerja sebuah restoran di kawasan bebas cukai di sini.

Seorang peniaga, Wan Hanafi Wan Jaafar, 48 melahirkan rasa kesal terhadap laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau.

”Saya hendak tanya sumber air yang didakwa itu diambil dari punca mana. Kalau air AKSB tidak berlaku apa yang didakwa tersebut.

”Lainlah kalau mendapat sumber air dari telaga tiub yang dikorek sendiri. Memang air boring berbau dan berwarna kuning. Kalau air AKSB tidak,” katanya ketika ditemui semalam.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada laporannya 24 November lalu menggambarkan air dibekalkan kerajaan negeri berkarat dan berbau.

Gambar disiarkan akhbar terbabit menunjukkan seorang surirumah mendakwa terdapat kesan-kesan air berkarat pada jarinya.

Sedangkan sumber air yang diguna itu tidak diceritakan dari punca mana. Berdasar tinjauan air berkarat dan berbau diperolehi sumber air telaga tiub yang dikoret sendiri dan bukan air AKSB.

Laporan Utusan cuba menyembunyikan fakta sebenar. Air boring masih digunakan sebahagian kecil peniaga di Rantau Panjang.

Telaga tiub yang diboring mendapat sumber air dari bawah tanah. Bagaimanapun keadaan rupa bumi pekan Rantau Panjang bekas sawah dan mudah air bertakung menyebabkan sumber air bawah tanah berkarat dan berbau.

Namun berlainan air dibekalkan AKSB kerana disalur dari Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas.

Pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azahari Ab Rahman berkata, pengguna di Rantau Panjang mendapatkan sumber air dari loji Kelar.

”Air yang dibekalkan AKSB jernih dan tidak berbau. Maklumat seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini tidak betul.

”Tindakan tersebut hanya untuk memburukkan AKSB dan kerajaan negeri semata-mata, sedangkan air berkarat dan berbau diambil penduduk dari punca lain,” katanya.

Penghulu Mukim Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Deraman berkata, tidak timbul sama sekali air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Katanya, air yang didakwa berkarat itu diambil dari telaga tiub yang diboring penduduk dan bukan air milik AKSB.

”Tidak dinafikan masih ada peniaga di pekan Rantau Panjang yang menggunakan air boring biar pun berkarat dan berbau,” katanya.

Kata beliau sekarang sudah ramai penduduk menggunakan air dibekalkan AKSB kerana jauh lebih berkualiti.

Seorang peniaga gerai makanan, Hasnah Ismail, 58 mengakui beliau menggunakan sumber air boring untuk membasuh pinggan mangkuk di gerainya.

Bagaimanapun katanya, air minuman diambil daripada rumahnya.

”Saya bercadang mahu menggunakan sumber air AKSB memandangkan tidak berkarat dan berbau seperti air diboring,” ujarnya.

(ikuti siri pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa