Berita

News Banner Berita Terkini

altBekalan air: Ada pihak sengaja burukkan AKSB
HarakahDaily Online | Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 FEB: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha sedaya mungkin menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri ini dengan memanfaatkan sepenuhnya pinjaman diluluskan kepada Kelantan.

Pengurus Besarnya, Ir Muhamad Hanapi Mahmood berkata, AKSB telah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin menangani masalah bekalan air di negeri ini.

“Tidak dinafikan masih ada lompang yang perlu diselesaikan, namun terdapat sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam isu air.

“Mereka cuba menyebarkan fitnah terutamanya dalam isu pembekalan air bersih. Banyak laporan media memberi gambaran tidak tepat,” katanya di sini.

Misalnya kata beliau masalah bekalan air di Masjid Mahmudi Bachok seperti dilaporkan media sebelum ini adalah tidak berasas.

Menurutnya tekanan dari punca air AKSB di masjid tersebut tidak menghadapi sebarang masalah dan orang ramai dapat mengambil wuduk seperti biasa.

Bagaimanapun kata beliau masalah yang berlaku saiz paip tidak mengcukupi bagi menampung tekanan air dari tangki simpanan.

Begitu juga dengan masalah bekalan air di kawasan perumahan PPRT di Gua Musang dan bekalan air di kawasan perumahan di Buloh Poh, Ketereh.

Hanapi berkata, perumahan PPRT yang mengandungi 1,000 unit di Gua Musang masih belum siap dan tiada penghuni lagi, di mana dijangka siap pada Jun hadapan.

“Jadi bagaimana isu air dimainkan media sedangkan kawasan tersebut masih belum berpenghuni. Lagi pun bekalan air di bandar Gua Musang mencukupi dan tekanan air begitu tinggi iaitu 30 juta liter padu sehari,” katanya.

Manakala di kawasan perumahan Kampung Buloh Poh, Ketereh hanya berlaku tekanan air agak rendah ketika waktu puncak, sedangkan di waktu lain tiada masalah.

“AKSB mendapati puncanya kerana berlaku kebocoran paip air di laluan utama dan ia telah diperbaiki. AKSB juga sedang dalam proses menukar paip lama bagi penyaluran air bersih dari tangki Ketereh ke kampung tersebut,” katanya.

Oleh itu kata beliau pihak-pihak yang sengaja memutar belitkan isu air di negeri ini mungkin berdepan tindakan serupa seperti dihadapi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kini berdepan kes saman RM1 juta, gara-gara membuat dakwaan berunsur fitnah.

“Mungkin kerana dendam menyebabkan ada segelintir pihak cuba menghasut rakyat dalam isu air. AKSB tidak akan berdiam diri dalam soal penyebaran fitnah dalam media massa,” ujar beliau.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa