Berita

BALAK1Pembalakan di jajaran lebuh raya dilulus Jabatan Hutan
HARAKAH DAILY, 16 Ogos 2015

Kerajaan negeri menjelaskan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat yang terbabit dengan projek lebuh raya rakyat mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan bagi mengeluarkan kayu di kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.

Ekoran itu katanya Baldah Toyyibah mengeluar sebut harga pada 23 Oktober dan 8 Disember Lembaga Pengarah syarikat itu bersetuju menawar kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn Bhd berdasar harga ditawar terendah.

“Sebanyak 2,300 tan kayu ditebang. Dan hanya sebanyak 1,700 tan dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28 juta.

“Setelah ditolak kos penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos, hasil bersih ialah sebanyak RM465,000,” katanya sebagai menjawab surat Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Surat tersebut dihantar kepada Husam yang juga Yang Dipertua PAS Kubang Kerian pagi tadi.

Khamis lalu Husam dalam surat terbuka yang diviralkan dalam facebooknya mendakwa berlaku pembalakan di luar kawasan di mana ada pihak mengubah pelan asal yang diluluskan kerajaan.

Menurutnya kawasan rehat dan rawat (R & R) yang sepatutnya dihiasi keindahan alam juga gondol.

Hanifa berkata Baldah Toyyibah hanya menebang pokok berukuran diameter 6 inci ke atas di kawasan R & R, selaras dengan hasrat Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

Katanya kawasan yang didakwa gondol sebenarnya jajaran lebuh raya yang perlu ditebang bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Pada Febuari lalu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco menanam pokok nangka ketika melawat kawasan yang dicadangkan R & R lebuh raya Machang-Kuala Krai.

Mengenai penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan kata Hanifa, ia dibuat untuk membolehkan Jabatan Perhutanan menjalankan siasatan hasil laporan dibuat pihak tertentu.

“Saya juga mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri, Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah supaya siasatan rapi dijalankan.

“Hasil siasatan Jabatan Perhutanan mereka mengesahkan tiada penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor dilantik Baldah Toyyibah.

“Maknanya Baldah Toyyibah dan kontraktor yang dilantik tidak terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kelulusan tebangan hutan diberi kepada Baldah Toyyibah bagi menampung kos berkaitan projek lebuh raya, bayaran konsultan dan operasi syarikat itu. - HARAKAHDAILY 16/8/2015

 

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa