Berita

CukaUMKCuka rambutan keluaran UMK
HARIAN METRO, 22 APRIL 2016

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memasarkan produk cuka berasaskan buah-buahan rambutan dan dokong dengan bantuan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (Kelantan Biotech Corp) menjelang awal tahun depan.

Ia susulan kejayaan projek penyelidikan diusahakan enam penyelidik dari Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK diketuai Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar, membabitkan peruntukan penyelidikan Pusat Keusahawanan Global Penyelidikan dan Inovasi (GERIC) sebanyak RM90,000.

Dr Seri Intan berkata, penyelidikan memakan masa tiga tahun bermatlamat mengatasi masalah lambakan buah-buahan bermusim yang tidak terjual di pasaran, sekali gus menambah pendapatan peladang tempatan

“Jika di musim buah, saya dapat membeli rambutan dengan harga RM1 sekilogram, namun selepas buah yang dibeli itu digunakan untuk menghasilkan satu liter cuka ianya dapat dijual di pasaran antara RM30 hingga RM50.

“Penghasilan produk cuka berasaskan buah-buahan tempatan ini satu inisaitif untuk menjana ekonomi negara dengan mengetengahkan produk cuka tempatan di pasaran domestik mahupun antarabangsa,” katanya ketika ditemui di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengkomersialan Produk Cuka Berasaskan rambutan dan dokong antara UMK dan Kelantan Biotech Corp.

UMK diwakili Naib Canselornya Datuk Dr Mortaza Mohamed, manakala Kelantan Biotech Corp diwakili Pengarah Urusan Abdul Rashid Mohd Yusoff.

Beliau berkata, produk dihasilkan diharap mampu menyaingi cuka epal yang popular di luar negara dan seluruh dunia.

“Kini masih belum ada mana-mana pengkaji yang berjaya menghasilkan cuka buah tempatan kerana yang banyak di pasaran adalah cuka epal dan kurma buatan import.

“Selepas mengkaji perbandingan antara cuka tiruan dan buah-buahan ini, ternyata kandungan mineral dalam cuka buah ini lebih tinggi dan lebih berkhasiat,” katanya yang mengakui kajian pasarannya bagus dan tidak bermasalah untuk mendapatkan bahan mentah.

Beliau berkata, cuka boleh dihasilkan lebih banyak dengan harga yang kompetitif yang dicadangkan iaitu antara 500 mililiter (ml) RM7 hingga RM15, manakala 200ml berharga RM10.

Sementara itu, Pengurus Besar Kelantan Biotech Corp Wan Subki Wan Omar berkata, pihaknya bertanggungjawab mengkomersialkan hasil penyelidikan itu dan sudah mengenalpasti lokasi strategik untuk pengeluarannya yang terletak di Machang.

Katanya, pihaknya kini dalam fasa pemasangan mesin yang mengambil masa selama enam bulan dan kilang dijangka beroperasi tahun depan.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa