Berita

air 1AKSB pertingkat pengurusan air Oktober ini
HARAKAHDAILY, 22/9/2016

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) masih berhadapan dengan kes bil tertunggak sebanyak RM22 juta.

Jumlah berkenaan diperoleh menerusi akaun sebelum tahun 2000 hingga sekarang yang masih belum dilangsaikan pengguna.

Pengurus Besarnya, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail, berkata dari jumlah berkenaan sebanyak RM5.5 juta akaun dihapus kira akibat hutang lapuk yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi wawancara berkaitan Migrasi Air bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, di pejabatnya.

Katanya, bagi mengelak berlakunya ‘hutang lapuk’, pihaknya akan mempertingkatkan pengurusan pembayaran bil yang lebih cekap.

Katanya, bermula bulan Oktober ini pemilik akaun AKSB disaran membuat bayaran segera setiap bil yang diterima.

“Mengikut undang-undang AKSB yang ada, pengguna mesti menjelaskan bil mereka selepas 30 hari.

“Yang berlaku sebelum ini, notis bekalan air akan dipotong sekiranya pengguna gagal membuat bayaran selepas tiga atau empat bulan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya bermula Oktober ini AKSB akan memendekkan tempoh notis hanya sebulan sahaja.

Tegasnya, selepas 15 hari pengguna menerima notis dan masih gagal membayarnya, bekalan air akan dipotong.

“Kita terpaksa meneruskan undang-undang ini tidak kira siapa pemilik akaun tersebut bagi menjaga sumber kewangan AKSB,”ujarnya.

Tambahnya lagi, cadangan itu telahpun dimaklumkan setiap jajahan dan ia akan dilaksanakan serentak Oktober ini.

Beliau seterusnya memberitahu, untuk menjimatkan kos juga, pembaca meter sendiri akan membuat notis tunggakan.

Tambahnya, sedangkan sebelum ini perkara itu akan dilakukan penguatkuasa sahaja.

Jelasnya, AKSB terpaksa bertegas dalam perkara ini demi untuk menjaga sumber kewangan.

“Kita tidak ada eset lain, hanya mendapat sumber dari bayaran bil pengguna sahaja.

“Melalui pendapatan ini kita guna semula untuk rakyat sama ada dalam bentuk membaik pulih bekalan air atau membaiki paip-paip bocor dan sebagainya,”ujarnya.

Tambahnya, sekiranya AKSB tidak berbuat demikian, masaalah hutang lapuk sebagaimana sebelum ini akan berterusan.

Pada masa yang sama, menurutnya kes kecurian air tidak berlaku lagi sebagaimana sebelum ini. Tegasnya, berapa ramai pengguna air di negeri ini mengambil air secara tidak sah.

Beliau menambah, dengan kaedah itu, AKSB menjangkakan pendapatan bulanan akan mencecah sehingga RM12 juta berbanding RM10 juta sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna seluruh jajahan supaya dapat melangsaikan bil mengikut jadual bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa