Berita

Henti sebarkan fitnahHenti sebarkan fitnah
HARAKAHDAILY, 13 OKTOBER 2016

KOTA BHARU - Pemuda Pas meminta Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) henti sebar fitnah yang tidak betul serta memberi masa untuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyelesaikan isu bekalan air bersih dalam tempoh seperti yang dijanjikan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, dakwaan yang mengatakan kegagalan pengurusan bekalan air kerana melakukan migrasi adalah salah kerana ia telah terbukti berjaya di negeri-negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Perak yang telah lama melakukan perjanjian dengan Kerajaan Pusat berkenaan penstrukturan air.

“Kita juga tegaskan apa yang dilakukan satu pihak dengan nama Restorasi yang mengadakan kunjungan ke pejabat-pejabat AKSB di beberapa jajahan dan membuat beberapa fitnah ke atas AKSB dan kerajaan negeri seperti contoh terkini mereka mendakwa air keruh yang diserahkan seorang penduduk dari Kampung Repek, Pasir Mas adalah bekalan air dari AKSB.

“Tetapi penduduk tersebut tampil membuat pengakuan yang air itu bukan dari AKSB sebaliknya itu adalah air telaga dan setelah kajian dibuat di makmal AKSB ternyata pengakuan tersebut adalah benar.

Kita minta pihak terbabit hentikan kegiatan fitnah, kita baharu sahaja buat penstrukturan beberapa minggu lepas mana mungkin masalah air boleh diselesaikan dalam kadar segera,” dakwanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika kunjungan hormat Majlis Serahan Memorandum Pasca Perjanjian Migrasi oleh Pemuda Pas di Pejabat AKSB, semalam kepada Pengurus Besarnya, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail.

Turut serta, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazman Che Ibrahim.

Azariza berkata, penyerahan memorandum itu adalah tanda sokongan kepada AKSB di atas segala usaha dilakukan oleh agensi itu bagi memastikan permasalahan air di negeri ini dapat diselesaikan dalam kadar segera.

“Sokongan padu diberikan kepada segala apa yang diusahakan AKSB seperti penstrukturan semula bekalan air, beri masa kepada AKSB kerana migrasi baharu sahaja ditandatangani, sama dengan perumpamaan baharu kahwin tiga minggu jangka dapat anak terus, ini tidak mungkin.

“Pemuda Pas optimis dan yakin setelah AKSB memberikan penjelasan berkaitan penstrukturan semula, mungkin tempoh 10 tahun seperti yang disebut Exco sebelum ini boleh disingkatkan kerana kepercayaan kita terhadap AKSB sangat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Azariza turut menasihatkan pada pengguna air berjimat cermat dalam penggunaan air selaras dengan ajaran Islam.

“Pengguna AKSB yang guna air tapi tidak bayar bil air juga dinasihatkan agar menjelaskan tunggakan tersebut, kerana solat yang kita lakukan menggunakan air yang bilnya tidak dibayar tidak akan diberi ganjaran walaupun diterima, ini sangat merugikan,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga tidak perlu risau dengan kenaikan tarif air seperti yang diuar-uarkan pelbagai pihak sebelum ini kerana ia tidak akan berlaku dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Sementara itu, Nazman berkata, kumpulan seperti Restorasi tidak sepatutnya wujud lebih-lebih lagi dengan membawa isu berkaitan bekalan air Kelantan dengan skrip yang sama.

“Isu (bekalan air bersih) muncul kembali bila tibanya PRU dengan skrip yang diulang-ulang, cuma dibawa oleh kumpulan atas nama Restorasi, rujukan siri jelajah mereka ke Machang atas nama isu air karat juga tidak berasas kerana tiada langsung aduan laporan berkaitan air karat di daerah itu.

“Begitu juga isu sama di Pasir Mas dan Rantau Panjang. Kita dah buat carian lebih 3000 laporan yang diterima AKSB hanya 18 kes yang membabitkan isu masalah kualiti air iaitu tidak sampai satu peratus jumlah keseluruhan ada kaitan masalah air karat,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa