Program “2025 PMBK Group Audit Wrap Up And Insights”
-

KOTA BHARU, 09 Disember 2025 – Jabatan Audit Dalaman (JAD) PMBK telah menganjurkan program “2025 PMBK Group Audit Wrap Up and Insights” pada 18 Jamadilakhir 1447 bersamaan 9 Disember 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.
Program ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang menghimpunkan pengurusan PMBK dan anak syarikat bagi membincangkan penemuan utama hasil pengauditan JAD sepanjang tahun 2025. Di samping mengemukakan penelitian berimpak serta memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam pengurusan, ia juga bertujuan untuk mengurangkan penemuan berulang dan memberikan hala tuju penambahbaikan bagi tahun 2026.
Pembentangan telah disampaikan oleh Pengurus Kanan Audit Dalaman Kumpulan PMBK, iaitu Datin Hajah Nik Aida Nik Mohamed yang turut menegaskan tentang kepentingan dokumentasi lengkap sebagai asas ketelusan, penemuan isu-isu lazim dan langkah memperkukuh kawalan dalaman bagi pencegahan pernyataan palsu.
Program ini turut menjadi platform penyatuan pemikiran antara jabatan untuk membentuk budaya kerja yang lebih telus, berintegriti dan mengutamakan tadbir urus yang baik. Dengan kehadiran seramai 68 peserta daripada warga kerja Kumpulan PMBK, program ini telah berjaya membuka ruang diskusi bermanfaat dan menyokong usaha menuju organisasi yang lebih berakauntabiliti.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga tahun 2026 akan menjadi tahun yang lebih kukuh dalam pematuhan, integriti dan penambahbaikan berterusan.




