Boling Mahabbah 2026

KOTA BHARU, 11 Februari 2026 – Program Boling Mahabbah 2026 yang dianjurkan pada 11 Februari 2026 telah berjaya menghimpunkan ahli Kelab Mahabbah daripada pelbagai jabatan di PMBK. Program yang bermula seawal jam 10.00 pagi dan berakhir sekitar jam 4.00 petang ini bukanlah diadakan sekadar untuk pertandingan, tetapi turut menjadi medan untuk mengukuhkan ukhuwah dan semangat berpasukan dalam suasana yang santai.
Ahli Kelab Mahabbah dibahagikan kepada empat kumpulan yang diinspirasikan daripada seni warisan budaya Kelantan seperti Wayang Kulit, Mak Yung, Menora dan Dikir Barat. Dari segi permainan, empat kategori utama telah dipertandingkan dalam program ini iaitu Individu Lelaki dan Wanita, Berpasukan Lelaki dan Wanita, Atlet Terbaik serta Kumpulan Terbaik.
Bagi acara Berpasukan Lelaki, kumpulan Wayang Kulit telah muncul sebagai juara, kumpulan Mak Yung di tempat kedua dan kumpulan Menora di tempat ketiga. Manakala bagi kategori Berpasukan Wanita, juara telah dimenangi oleh kumpulan Mak Yung, kumpulan Wayang Kulit di tempat kedua dan kumpulan Menora di tempat ketiga. Dalam kategori individu, Mohd Razmi Bin Yaacob mempamerkan aksi konsisten untuk merangkul Johan Individu Lelaki dan seterusnya dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik, tempat kedua diisi oleh Yusri Bin Yaacob dan Abdul Aziz Bin Setapha di tempat ketiga. Bagi kategori wanita, Wan Nur Hazlina Binti Wan Yusoff meraih Johan Individu Wanita, Siti Noor Alwani Binti Hamid di tempat kedua dan Hafizah Binti Ab Halim di tempat ketiga. Sementara itu, Susilawati Binti Mat Na'aim @ Mustapha telah diiktiraf sebagai Atlet Wanita Terbaik. Secara keseluruhan, kumpulan Wayang Kulit dinobatkan sebagai Kumpulan Terbaik program ini.
Program Boling Mahabbah 2026 jelas membuktikan bahawa sukan mampu menjadi medium penyatuan yang efektif. Lebih daripada sekadar balingan dan kiraan jatuhan pin, sukan adalah simbol kebersamaan, disiplin dan semangat kekeluargaan yang terus mekar dalam Kelab Mahabbah PMBK.




