Berita

Petikan dari Sinar Harian. 17 Januari 2011

KUALA LUMPUR - Isu royalti minyak yang ditimbulkan Kerajaan Kelantan pada Julai 2009 dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan bloggers turut dikemukakan semasa pertemuan Ramah Mesra dan Dialog Bloggers bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sini, kelmarin.

Exco Kanan, Datuk Husam Musa berkata, royalti yang dianggarkan melebihi RM1 bilion dikatakan sedang dalam proses dan permohonan itu akan diteruskan pada 27 Januari ini.

Beliau menafikan tanggapan penulis blog bahawa tiada sebarang perkembangan berhubung isu tuntutan royalti minyak terbabit.

Katanya, tuntutan itu disokong semua pihak, dan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepadanya (Husam) untuk meneruskan permohonan tuntutan berkenaan yang dianggap sebagai menjaga amanah rakyat.

“Ia bukan sekadar isu politik, tetapi untuk menjaga amanah dan juga pembelaan kepada rakyat Kelantan.

“Seperti yang disebut Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), isu royalti adalah isu amanah, dan beliau adalah pemegang amanah.

"Maka kami menuntut amanah itu bagi rakyat Negeri Kelantan,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan bloggers mengenai perkembangan kes berkenaan.

Husam, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, Kerajaan Kelantan tidak akan berdiam diri dan beliau turut mengajak semua penulis blog dan pemilik akaun Facebook hadir ke Mahkamah Tinggi Perdagangan Kuala Lumpur bagi mendengar permohonan Kerajaan Pusat untuk mencelah menjadi defendan bagi isu tuntutan royalti minyak.

“Kami bantah permohonan itu. Kerajaan Pusat mungkin merasakan Petronas berseorangan atau menganggap mereka memerlukan 'bapa' kerana tak sanggup menghadapi Kerajaan Kelantan,” katanya.

Husam berkata, pendekatan lain oleh Kerajaan Negeri berhubung isu itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa