Berita

News_Banner_Berita_Terkini
2 kali SPRM siasat isu serupa di AKSB?
HarakahDaily Online | M Faqih & Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 APR: Lebih setahun lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menyiasat mengenai dakwaan berlaku penyelewengan membabitkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Namun tiada kes yang ditemui dan tidak dikemukakan untuk pendakwaan di mahkamah. Sebaliknya kelmarin SPRM dari Putrajaya pula datang bagi menyiasat isu yang hampir serupa.

Di sini timbul tanda tanya kehadiran pegawai SPRM dari Putrajaya mungkinkah ada kaitan dengan orang politik, selepas tiada kes ditemui SPRM Kelantan.


Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, isu yang disiasat pegawai SPRM dari Putrajaya hampir sama dengan apa yang dilakukan SPRM Kelantan sebelum ini.

“Tidak ada banyak beza kes-kes yang disiasat mereka. Hanya berulang isu yang hampir sama sahaja. Bagaimanapun kita tetap memberi kerjasama penuh kepada mereka,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan SPRM Putrajaya memulakan siasatan dakwaan berlaku penyelewengan dalam AKSB yang mengurus bekalan air di Kelantan.

Laporan akhbar terbabit menyebut siasatan dibuat ekoran menerima laporan daripada Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya berlaku salah urus tadbir AKSB.

Hanapi berkata, beberapa isu yang ditimbul NGO Umno terbabit sudah dijawab beberapa kali termasuk kononnya AKSB mengalami kerugian RM130 juta dalam projek air tidak berhasil (NRW).

Sedangkan katanya, projek berkenaan hanya dijangka siap pada Ogos hadapan selepas memulakan kajian pada awal 2008.

“Lagi pun kontraktor yang melaksanakan kajian itu dipilih sendiri Kementerian Kewangan selepas senarai kontraktor yang layak dikemukakan AKSB.

“Jadi kita pun hairan bagaimana boleh dikatakan projek itu mengalami kerugian besar sedangkan ia belum siap sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya juga syarikat yang dipilih kementerian turut membekalkan meter digital (smart reader) sebanyak 43,000 buah selepas dilulus Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menggantikan meter lama yang tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun katanya, sebahagian meter baru yang dibekalkan juga didapati bermasalah dan mengikut perjanjian pihak kontraktor yang bertanggungjawab perlu menanggung kosnya.

“Jadi kita pun hairan bagaimanapun ada pihak mendakwa AKSB mengalami kerugian berkali ganda,” tambahnya.

Begitu juga penggunaan bahan kimia PAC3 yang juga dilulus SPAN bagi menggantikan tawas. Biar pun agak mahal, namun ia boleh menjimatkan kos operasi dalam jangka masa panjang.

Mengenai dakwaan pembinaan loji di Pintu Geng melibatkan kos tinggi, Hanapi berkata, ia dibuat secara tender terbuka menggunakan dana sebahagian pinjaman yang dilulus Kementerian Kewangan.

Katanya, projek berkenaan dimulakan pada awal 2010 dan dijangka siap sepenuhnya pada Febuari 2013 melibatkan kos RM52 juta.


MB beri SPRM laluan

Mengulas isu sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri memberi laluan SPRM untuk menyiasat berhubung dakwaan penyelewengan dalam AKSB.

“Saya juga mencadangkan bukan hanya syarikat air di Kelantan sahaja perlu disiasat, bahkan di negeri lain yang diperintah BN juga perlu dilakukan,” katanya selepas majlis pelancaran tabung pembinaan Masjid Al-Ihsan Maahad Pengajian Islam, di sini hari ini.

Kata beliau sekiranya SPRM menyiasat semua laporan rasuah di seluruh negara dan bukan hanya di negeri Pakatan Rakyat sahaja, ia membuktikan mereka bertugas mengikut kehendak Islam dan bukannya kepentingan dunia semata-mata.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa