Berita

News_Banner_Berita_Terkini
Kelantan serah migrasi air kepada Pusat
Sinar Harian Online

Kota Bharu, 7 Mac:  Kerajaan Kelantan hari ini bersetuju melaksanakan migrasi air di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi memudahkan kerajaan negeri pimpinan Pas mendapatkan kemudahan pinjaman atau projek yang berkaitan daripada kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Utiliti, Kerja Raya dan Alam Sekitar, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata keputusan itu tidak menjejaskan tanggungjawab Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai badan pengendali urusan perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Sebuah Jawatankuasa Khas Teknikal yang dipengerusikan oleh beliau sedang meneliti dan menghalusi terma-terma dan syarat sebelum ditandatangani perjanjian berkaitan.


"Kita menjangkakan jawatankuasa teknikal ini akan mengambil masa tiga bulan untuk menyelesaikan segala perjanjian berkaitan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini hari ini. Md Anizam berkata dengan keputusan yang dibuat di bawah Akta Industri Air Negara 2006 itu masalah bekalan air di Kelantan dijangka dapat diselesaikan  pada tahun 2020.

Kini terdapat 197,000 pemegang akaun dengan AKSB yang menikmati kemudahan bekalan air di Kelantan.

"Dengan migrasi air kepada PAAB itu, ia akan memberi manfaat lebih banyak kepada rakyat negeri ini, termasuk pembinaan loji baru, menaikkan taraf pusat rawatan air di samping menggantikan paip-paip lama, yang menyebabkan gangguan bekalan air," katanya.

Kelantan kini memiliki 28 loji air yang sedang beroperasi.Beliau berkata dengan pelaksanaan migrasi air itu juga kerajaan negeri  menjangkakan dapat mengurangkan kadar kerugian yang dialami melalui Air Yang Tidak Berhasil (NRW) hingga kepada 42 peratus menjelang Ogos tahun ini berbanding lebih 50 peratus sekarang. – Bernama

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa