Berita


Kilang bijih besi bawa hasil lumayan
Sinar Harian, Sapinah Ab Gani, 04 Mac 2014

KOTA BHARU: Bagi memajukan lagi industri besi di negeri ini, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersetuju membenarkan sebuah kilang memproses sumber galian itu dibina di Tanah Perindustrian Staphanol, Kuala Krai, tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kilang besi bernilai RM30 juta itu akan dibina oleh Optimum Transform Sdn Bhd di atas tanah seluas 44.4128 hektar milik PMBK yang dipajak selama 33 tahun oleh syarikat berkenaan.

“Kewujudan kilang itu akan menambahkan lagi peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri ini,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah di Tanah Perindustrian Staphonal antara PMBK dan Optimum Transform sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasinya, Sanusi Othman dan Pengarah Urusan Optimum Tranform Sdn Bhd, Steven Lee Seng On.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, umum mengetahui kuantiti bijih besi di negeri ini khususnya kawasan itu agak banyak dan dengan adanya kilang tersebut akan memudahkan urusan pemprosesan sumber galian tersebut.

“Walaupun hanya melibatkan beberapa proses, sekurang-kurangnya kewujudan kilang tersebut akan meningkatkan mutu pengeluaran berbanding sebelum ini apabila hanya mampu membawa keluar besi bulat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pemilihan syarikat itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk keupayaan, potensi serta rekod yang baik untuk menjalankan kerja-kerja perkilangan.

“Kita tidak memerlukan kilang yang banyak, sebaliknya pembinaan dibuat bergantung pada keperluan, sebab itu pemilihan dibuat terhadap kilang yang mempunyai kekuatan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa