Berita


Kerajaan Kelantan ucap takziah
Sinar Harian, 27 Mac 2014

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap kemuncak usaha pencarian MH370 yang masih diteruskan akan membawa khabar gembira memandangkan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setakat ini hanyalah berasaskan imej satelit dan laporan agensi antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sedar kesukaran dan kepayahan dilalui petugas sepanjang misi pencarian MH370 di Lautan Hindi dan berharap agar ALLAH SWT mempermudah usaha tersebut.

“Bagi pihak kerajaan Kelantan, saya ucapkan takziah atas tragedi menimpa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu, lebih-lebih lagi selepas pengumuman Perdana Menteri mengesahkan pesawat tersebut hilang di Lautan Hindi.

“Ia cukup menyedihkan, bukan sahaja buat keluarga mangsa, malah seluruh rakyat Malaysia,” katanya dipetik di laman entri Facebook miliknya, semalam.

Sambil menasihatkan agar keluarga dan waris mangsa terus tabah serta bersabar menghadapi dugaan hebat itu, Ahmad berkata, kejadian itu akan membawa hikmah tersendiri pada masa akan datang.

“Kehilangan ahli keluarga hakikat yang amat berat untuk diterima. Berdoalah agar ALLAH SWT memberi kebaikan di sebalik ujian ini kerana sebagai manusia beriman, kita perlu yakin bahawa kuasa ALLAH SWT mengatasi kecanggihan teknologi,” katanya.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa