Berita

Ramah mesra bersama Menteri Besarramah mesra
Sinar Harian, 04 Mei 2014

BACHOK - Penduduk di daerah ini berasa cukup bertuah dengan kesudian Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob meluangkan masa setengah hari di Dun Perupuk, di sini semalam.

 

Menjelang tengah hari, Ahmad menghadiri majlis kenduri kaum Siam di Kampung Balai sebelum menunaikan solat berjemaah bersama penduduk dan menjamu selera dalam jamuan rakyat di Kampung Mujur pada sebelah petang. Beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah masjid baharu Mukim Mujur yang bakal memulakan pembinaan dalam masa terdekat.

 

Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan dan amat berbangga melihat sambutan diberikan orang ramai.

 

"Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar atas kunjungannya dan tidak lupa kepada semua yang menjayakan majlis bersama beliau hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah untuk pembinaan masjid baharu Mukim Mujur, dekat sini.

 

Hadir sama, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Adun Tawang, Hassan Mahmood.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Mujur, Mohamed Marzuki Lateh memaklumkan, hasrat membina masjid baharu sudah dirancang selama dua tahun bersama ahli jawatankuasa masjid. Menurutnya, pembinaan masjid baharu adalah satu langkah perlu diambil memandangkan masjid sedia ada yang dibina sejak 1979 sudah semakin usang dan sering bocor.

 

"Masjid sedia ada hanya boleh memuatkan 500 jemaah pada satu-satu masa dan kami bercadang membina masjid baharu yang boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah. Ia akan dibina dua tingkat untuk keselesaan jemaah.

 

"Pembinaannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat menggunakan dana melalui derma orang ramai. Bagi mereka yang ingin menyumbang untuk pembinaan masjid ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 03111-01–001400-5," katanya.

Tambah Mohamed Marzuki, sebarang pertanyaan mengenai pembinaan masjid baharu Mukim Mujur boleh diajukan kepada beliau sendiri di talian 013-935 3268 atau kepada Imam II Masjid Mukim Mujur di talian 019-959 9484.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa