Page 10 - index
P. 10
Mutiara Kata
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah tadbir urus dan
penghakiman antara manusia dengan kebenaran dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang
demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah,
akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.” (Al-Rum,
ayat 42).
Pada tarikh 6 Mei 2017, genaplah empat tahun saya diamanahkan sebagai ketua kerajaan negeri memegang
urusan besar rakyat. Saya merakamkan penghargaan kepada semua jentera pentadbiran dalam semua peringkat
dan seluruh rakyat yang telah membantu dan memberi sokongan penuh dalam usaha saya menjadikan Kelantan
ke arah negeri berkebajikan yang diredai Allah SWT.
Konsep negeri berkebajikan yang dibangunkan ini adalah berteraskan wahyu Allah sebagaimana tuntutan Allah
kepada Nabi Daud AS agar mentadbir kerajaan dengan al-Haq iaitu menegakkan kebenaran dan keadilan dalam
semua aspek sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-Quran di atas.
Sesungguhnya, usaha untuk membangunkan Negeri Serambi Mekah ini sejak dahulu hingga ke zaman pentad-
biran saya merupakan usaha yang bersepadu untuk mencapai pembangunan yang berteraskan syariat; iaitu
pembangunan untuk kepentingan dunia dan akhirat. Di samping itu, pencapaian juga dapat dilihat atas kejayaan
bekerja secara berpasukan dalam kalangan pimpinan kerajaan dan pegawai-pegawainya.
Alhamdulillah, kini kerajaan kita sudah memasuki usia 27 tahun dengan terus membangun bersama dasar Islam-
nya dan Kelantan telah menjadi bahan perhatian di seluruh negara kerana keunikan dasar ini apabila diterapkan
sejak sekian lama. Dasar ini adalah dasar kesejahteraan dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira
agama dan kaum. Ianya telah dirasai sendiri oleh rakyat sepanjang mereka bernaung dibawah pentadbiran
Islam.
Oleh itu, saya sendiri hendak melihat dasar Islam ini bertapak dalam hati seluruh rakyat dan tidak menjadi dasar
kerajaan negeri sahaja. Maka dengan itu, pada fasa ini, saya telah membuat beberapa penambahbaikan dengan
menjenamakan ‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam’ sebagai dasar bersama kerajaan negeri dan rakyat.
Apa yang penting ialah kita laksanakan kerja semata-mata kerana Allah dan pastikan kerajaan negeri ini kekal
dibawah pentadbiran yang sedia ada.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama
secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan secara bersama hasrat murni kerajaan negeri dan
insya-Allah Negeri Serambi Mekah ini akan sentiasa dibawah naungan rahmat Allah SWT.
“ISLAM DIJULANG, RAJA DIJUNJUNG, RAKYAT DISANJUNG”
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM-KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
S.J.M.K., D.J.M.K. (Kelantan)
(DATO’ BENTARA KANAN)
Menteri Besar Kelantan