Program Audit Talk: Ke Arah Pemantapan Organisasi dan Jati Diri
27 Ogos 2024, Kota Bharu - Jabatan Audit Dalaman (JAD) PMBK telah menganjurkan Program Audit Talk pada 22 Safar 1446 bersamaan 27 Ogos 2024 di Hotel Perdana, Kota Bharu yang dihadiri oleh 85 warga kerja Kumpulan PMBK. Program yang dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang.
Pada sebelah pagi, sesi perkongsian bertajuk Pemantapan Teknik Memahami Penyata Kewangan, Akaun dan Surat Pengurusan daripada Juruaudit Bertauliah telah disampaikan oleh A. Aswad @ Abdul Rahim Ahmadun yang merupakan Rakan Kongsi bagi Tetuan Afrizan Tarmili Khairul Azhar (AFTAAS). Pada sesi ini, peserta diberi pendedahan tentang pengetahuan asas mengenai penyata kewangan dan latihan untuk mentafsir laporan kewangan dengan tepat. Pengetahuan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta menganalisis penyata kewangan beraudit dan membuat keputusan kewangan yang tepat.
Pada sesi petang pula, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Haris) meneruskan perkongsian bertajuk Budaya Kerja Mengikut Perspektif Islam bagi meningkatkan kesedaran tentang budaya kerja berlandaskan Islam dengan menekankan kepentingan integriti, tanggungjawab dan kepentingan audit diri sendiri pada setiap masa.