Majlis Pra Pelancaran Solar Terapung
Oleh: Nurul Nabila Md Nor
Kelantan telah melakar sejarah baharu dengan pembukaan ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara yang bernilai RM500 juta melibatkan 247,600 panel solar yang berkeupayaan menjana 259,004 megawatt jam (MWh) kuasa setahun. Majlis Pra Pelancaran Solar Terapung dan Pengisytiharan Zon Industri Akuakultur tersebut telah diadakan pada 01 April 2021 yang bertempat di Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.
Ladang solar terapung yang dilancarkan merupakan projek yang diusahakan oleh Cypark Resources Berhad melalui anak syarikatnya, Cypark Estuary Solar Sdn. Bhd. dan Cove Suria Sdn. Bhd. dengan kerjasama anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Utilites Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. (KUMH). Projek ini merupakan salah satu agenda pembangunan sosioekonomi negeri secara inklusif yang terdapat dalam Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (PIPM) dalam merealisasikan visi pelan tersebut disamping menyokong Pelan Strategik Negeri Kelantan.
Sistem solar terapung ini dapat mengatasi masalah penggunaan tanah yang terhad dengan pemasangan di atas permukaan air. Selain itu, sistem ini juga dapat menjaga kualiti air dan menghasilkan persekitaran yang lebih optimum bagi kehidupan akuatik. Majlis tersebut telah dilancarkan oleh YB Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi KUMH. Melalui projek ini, rakyat Kelantan bukan sahaja akan menerima manfaat daripada solar tersebut, malah rakyat Kelantan juga boleh menjadikan tempat tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan keluarga yang ekonomi. Susulan daripada pengisytiharan Zon Industri Akuakultur (ZIA), sebanyak 50,000 anak udang galah dan 15,000 anak ikan lampan dilepaskan ke dalam tasik tersebut. Kerajaan mensasarkan penambahan 1000 unit sangkar di masa akan datang.
Majlis tersebut diadakan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dengan pengisytiharaan Tasik Danau Tok Uban sebagai kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) akan merancakkan lagi pengeluaran ikan dari sektor akuakultur negara dan sekaligus dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Jika ianya dilakukan dengan baik berkemungkinan Kelantan dapat menandingi negara lain yang sudah lama mewujudkan sistem ini kerana Kelantan mempunyai fasiliti semula jadi yang sangat menarik.