Majlis Jawatankuasa Audit Lembaga Penasihat (JALP) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (Pmbk) 2024: Pengiktirafan Kecemerlangan Dan Jalinan Silaturahim
KOTA BHARU, 30 Disember 2024 – Jabatan Audit Dalaman (JAD) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah berjaya menganjurkan Majlis Jawatankuasa Audit Lembaga Penasihat (JALP) kali keempat di H-Elite Design Hotel pada hari ini, dengan kehadiran lebih 100 tetamu termasuk pengurusan kanan PMBK, semua warga kerja PMBK dan wakil Kumpulan PMBK.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pihak yang diaudit dan penghargaan ini diberikan kepada syarikat yang berjaya melaksanakan tindakan susulan melebihi 80% untuk tahun 2021-2022 serta syarikat yang telah berjaya mendapat tiga (3) tempat terbaik dalam pengurusan aset untuk tahun 2023. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi JALP PMBK, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Haji Hassan.
Selain itu, majlis ini juga telah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara ahli-ahli JALP PMBK dan warga kerja Kumpulan PMBK. Dalam ucapannya, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut menegaskan pentingnya komitmen terhadap kecemerlangan audit dan integriti dalam pengurusan.
Antara yang turut hadir ialah YBrs Tuan Haji Zulkifli Mamat (ahli JALP PMBK), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK dan warga kerja Kumpulan PMBK. Majlis bermula pada jam 10.00 pagi diikuti dengan sesi penyampaian anugerah dan seterusnya gimik pelancaran “Q&A Audit Dalaman” yang bertujuan untuk memudahkan Kumpulan PMBK berhubung terus dengan JAD PMBK bagi mendapatkan sebarang bantuan/khidmat nasihat.
Kesimpulannya, Majlis JALP PMBK 2024 kali ini telah berjaya mencerminkan usaha JAD PMBK dalam memacu kecemerlangan Kumpulan PMBK. Dengan pengiktirafan ini diharapkan agar Kumpulan PMBK terus meningkatkan integriti, tadbir urus dan prestasi dalam setiap aspek operasinya.