Pelaksanaan Bengkel Hala Tuju PMBK dan Kumpulan 2025-2029
KOTA BHARU, 13 Februari 2025 – PMBK dan kumpulan telah berjaya melaksanakan Bengkel Hala Tuju 2025-2029 pada 12 dan 13 Februari 2025 di Hotel Perdana, Kota Bharu. Bengkel ini merupakan langkah penting dalam proses penyediaan Pelan Strategik PMBK & Kumpulan 2025-2029, yang bertujuan memperkukuhkan peranan PMBK sebagai agensi korporat dan peneraju pelaburan strategik negeri Kelantan dalam mengurus, membangunkan, dan mengoptimumkan aset strategik kerajaan negeri.
Pengurusan strategik yang efektif memerlukan perancangan, pelaksanaan, pemantauan, dan penilaian yang bersepadu. Justeru, bengkel ini menjadi medan perbincangan dalam mengenal pasti dan merangka dasar, menetapkan program serta tindakan yang selari dengan aspirasi PMBK, selaras dengan visi dan misi organisasi dalam mencapai pertumbuhan yang mampan.
Sepanjang dua hari bengkel ini, para peserta telah ; Menilai Keberkesanan PSPI 2020-2024: Pembentangan hasil semakan terhadap pencapaian dan cabaran sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Strategik & Pelan Implementasi (PSPI) 2020-2024. Mengenal Pasti Isu dan Peluang Strategik: Mengenal pasti isu-isu kritikal dan peluang baharu dalam persekitaran dalaman dan luaran untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang. Membincangkan Hala Tuju Strategik: Penetapan hala tuju strategik baharu yang menjadi panduan Kumpulan PMBK dalam tempoh lima tahun akan datang. Merangka Tindakan Berimpak Tinggi: Membangunkan inisiatif dan pelan tindakan berasaskan hasil perbincangan bagi memperkukuh prestasi dan keberkesanan organisasi.
Pelan Strategik Kumpulan PMBK 2025-2029 akan memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan mampan menerusi dasar, strategi dan pendekatan yang wajar serta dinamik. Pelan strategik ini turut akan dikemas kini secara berkala bagi memastikan kesesuaian dengan perubahan persekitaran serta perkembangan industri.
PMBK komited untuk terus bergerak maju sebagai entiti korporat yang berprestasi tinggi, dengan memanfaatkan hasil bengkel ini sebagai asas kukuh dalam mencorakkan masa depan yang lebih lestari dan berdaya saing.