Bahagia

Ditulis oleh admin. Posted in Kolumnis

Oleh   : Muhammad Najid Abdullah

(I)

Ada yang berkata bahagia itu pada nikmatnya perkara. Pada kekayaan apabila dimilikinya. Pada kesenangan sebagaimana impian yang dipenuhi. Pada penyatuan antara dua jiwa. Pada manisnya senyuman yang diukur dari lirikan bibir. Pada sekecil-kecil sebab yang membawa erti nikmat.

Menyebutnya sahaja sudah disertakan dengan lirik senyuman. Atau sekurang-kurangnya memerahkan pipi. Ia seolah perkataan ajaib yang digilai ramai.

Bahagia pastinya unik dan universal. Sukar dimengertikan dalam pelbagai bentuk dan dimensi yang berbeza-beza. Apa sahaja yang membawa bahagia pasti ia membuah bahagia.

(II)

Dalam keadaan biasa bahagia difahami secara mudah dengan perkara-perkara yang berupa nikmat. Nikmat sihat, kekayaan dan riang gembira. Ia dianggap biasa.

Secara mudah bila cukup segala kelengkapan fizikal maka hati gembira. Lalu berolehlah gembira. Yang mengawal kebahagiaan tadi adalah fizikal.

Tetapi soalannya, apa cukupkah dengan itu sahaja?

(III)

Pernahkah kita dikhabarkan dengan hadis daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Riwayat Bukhari & Muslim;

"Bukanlah kekayaan itu pada banyaknnya harta tetapi kekayaan sebenar adalah kaya jiwa"

Barangkali hadis ini banyak tersebar dan difahami. Mudah bukan memahaminya?

Kita tidak perlu mencapai tahap orang kaya untuk menjadi kaya. Cukuplah kiranya kita punya jiwa sebagai orang kaya dalam berhubungan dengan manusia

Jiwa orang kaya diterjemahkan sebagai pemurah, dermawan dan sentiasa bahagia. Kekayaan harta benda tidak menjanjikan itu semua.

Kita mungkin punya harta tetapi seharusnya perlu bertanya. Adakah kita juga punya jiwa atau hanya melihat manusia sekeliling hanya sekadar sekujur jasad sahaja.

Ada yang berkata mana mungkin tanpa harta kita boleh menjadi penderma. Betulkah?

Apakah jaminannya yang berharta akan secara langsung menjadi dermawan. Jika tidak punya jiwa, jutawan dunia sekalipun akan hanya menambahkan kekayaan tanpa ehsan pada manusia sekeliling.

Jujurnya, jiwa perlu baik dan sejahtera. Maka terbangkitlah bahagia dan jangan sesekali tunggu kaya harta benda kerana sebenarnya kaya adalah bermula dalam jiwa.

Alangkah sukarnya mendidik jiwa.

(IV)

Dalam ma'thurat ada satu doa daripada Abdullah bin Abbas yang warid dari nabi SAW;

"Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu dari sifat keluh kesah dan dukacita, lemah dan malas, pengecut dan kedekut, belenggu hutang dan tekanan kezaliman manusia" (Riwayat Abu Daud)

8 sifat yang mohon dijauhi ini membawa erti ianya akan menghilangkan bahagia. Keluh kesah, dukacita, lemah, malas, pengecut, kedekut, belenggu hutang dan ditekan dengan kezaliman manusia.

Benarlah sebagaimana doa yang diajarkan Nabi SAW. Mana mungkin akan beroleh bahagia jika jiwa sentiasa keluh kesah memikirkan kekurangan diri tanpa pernah bersyukur.

Mana mungkin akan bahagi jika selalu merintih dukacita. Sifat lemah pula akan hanya merendahkan tahap motivasi diri. Apa lagi jika sentiasa bermalasan.

Pengecut diertikan sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri. Enggan berfikir untuk melepaskan kemelut. Manakala kedekut adalah sifat umum manusia yang jika tidak dikawal akan pasti menjadikan kita tamak haloba.

Belenggu hutang akan memberikan sibuk pada otak, letih pada badan dan seksa pada jiwa. Kelemahan-kelemahan ini akan bertambah mendesak jika diadun dengan kerelaan untuk ditekan manusia lain.

Atas apa jua usaha dan doa, hilangnya 8 perkara ini akan memunculkan bahagia. Doakan bahagia milik kita bersama.

(V)

Bahagia tidak boleh dibuat. Ia juga bukanlah bahan kemukaan. Seberani mana sekalipun kita berhempas menunjukkannya dikhalayak, ia tidak akan mengubah hakikat dalaman.

Atau barangkali boleh dikatakan, bahagia luaran akan mempengaruhi dalaman. Ketika hati menangis, lebarkan senyuman. Lama kelamaan tangisan dalam akan dipengaruhi senyuman luaran.

Mana satu kebenarannya?

Entah. Hanya kebarangkalian. Setidak-tidaknya mencuba dan ia adalah salah satu cara. Dalam ilmu sosial tidak ada mana satu salah dan selebihnya betul. Boleh jadi betul pada seseorang dan tidak pula pada yang lain.

(VI)

Berusahalah memugar usaha untuk bahagia. Kerana tulisan hidup manusia tidak akan pernah terhenti catatannya selagi masih bernyawa.

Kejarilah ia dan yang paling utama Allah dan Rasul melebihi segalanya.

Sekian.

Kumpulan PMBK

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. X-Cell Bio bw PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.Kelantan ICT Gateway copy bw16a