Bersahabat

Posted in Kolumnis

BERSAHABAT YE, BUKAN BERSUBAHAT

 

Manusia tidak dapat hidup seorang diri, perlu bersosial dan berkomunikasi dengan orang lain. Selain dengan ahli keluarga sendiri dan masyarakat pastinya manusia akan lebih berhubung dengan rakan, teman atau sahabat. Sama ada rakan lama atau baru, dekat atau jauh dan ada juga jenis persahabatan secara maya sahaja seperti dalam media sosial ini.

 

Bersahabat kerana Allah adalah sebaik-baik jenis persahabatan. Akan tetapi, persahabatan kategori ini jugalah semakin pupus lenyap dari muka bumi ini kerana suburnya sifat materialistik, sifat keakuan dan nafsu-nafsi yang menguasai diri manusia. Persahabatan yang diikat dan dijalin kerana Allah itu sentiasa di dalam kebaikan dan pahala yang besar.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud ; "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran." (QS Al-Kahfi : 28)

 

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati...

 

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (HR : Al-Hakim)

 

Ciri-ciri persahabatan kerana Allah ialah :-

1. Kerana dilihat temannya itu sangat taat dan cinta kepada Allah SWT.

2. Banyak membantunya dalam selok-belok agama dan sentiasa menasihatinya untuk sentiasa taat setia kepada Allah Taala.

3. Membantu urusan keduniaannya yang lantaran itu terurus dan tersusun jugalah urusan akhiratnya.

 

Persahabatan Biasa :

Persahabatan yang tidak ada hubungan dengan persahabatan kerana Allah.Ia persahabatan biasa kerana urusan keduniaan semata-mata.

 

Persahabatan Yang Tercela :

Bukan sahaja tidak berpahala malah berdosa pula. Kawan yang bersubahat membantunya melakukan kezaliman dan maksiat kepada Allah SWT. Mereka sama-sama bersahabat tetapi sahabat yang menganjur berbuat kemungkaran serta kefasikan. Sebenarnya dalam keadaan ini mereka turut bersahabat dengan syaitan sekaligus, kamceng pula tu !

 

Walaupun mereka nampak intim dan serasi dalam persahabatan yang penuh mungkar dan keji itu, di akhirat nanti mereka akan saling bermusuhan, bercakaran dan salah-menyalahkan antara satu sama lain. Allah gambarkan suasana itu dalam firman-Nya; “… dan sahabat-sahabat (di dunia dahulu) pada hari itu (hari akhirat) saling bermusuhan antara satu sama lain melainkan orang-orang yang bertaqwa.” (QS Az-Zukhruf: 67)

 

Seorang yang bersahabat kerana Allah sanggup mengenepikan krisis yang sedang dialaminya demi seorang sahabat. Tetapi jangan pula mengambil kesempatan atas kebaikannya. Tidak kecoh dan mampu simpan rahsia. Menerima dan mendengar nasihat serta pandangan yang diberikan dengan hati terbuka. Nasihat yang diberikan juga amat meyakinkan kamu. Sedia dihubungi bila-bila masa… 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun!

 

Jauhi sahabat yang mengajak kamu melakukan sesatu perkara yang kamu sendiri pasti bahawa ia adalah SALAH! Atau yang gemar melakukan sesuatu perkara ikut sesuka hati dia je... sesedap rasa saja! Nanti SUBAHAT namanyeee!

 

Olahan oleh:

MOHD MUHAIMIN MAZLAN

PEGAWAI PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa