Keadilan

Posted in Kolumnis

JANGAN PERNAH MENGHARAP KEADILAN DARIPADA ORANG YANG ZALIM!

 

Antara yang akan menentukan menang atau pun kalah kedua2 pasukan bola sepak ialah 'Pengadil'. Bukan ditentukan oleh pasukan mana yang mampu membawa kumpulan penyokong teramai di stadium nanti. Penyokong paling hebat pun hanya mampu berteriak dan bersorak... Tiada kuasa melayangkan Kad Kuning mahupun Kad Merah !

 

Ulama' memberikan beberapa pengertian tentang adil dan keadilan :

1. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

2. Adil bermaksud menerima hak tanpa lebih dan memberikan hak orang lain tanpa kurang.

3. Adil bermaksud memberi hak setiap orang yang berhak tanpa terlebih dan tanpa terkurang sesama orang yang berhak dan menghukum orang yang jahat atau melanggar hukum setara dengan kesalahannya.

 

Daripada ketiga-tiga pengertian yang tersebut dapatlah dirumuskan bahawa keadilan itu:

1. Menjamin hak individu.

2. Menghapuskan kezaliman.

3. Melaksanakan hukum dengan saksama.

4. Memastikan orang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa dan orang yang lemah tidak teraniaya.

 

Syed Qutub merumuskan pengertian adil sebagai sikap mutlak, tidak menunjukkan kecondongan cinta atau marah, tidak mengubah ketentuan oleh kerana kasih sayang atau benci. Adil itu tidak mempengaruhi pandangan kerana pertimbangan kekeluargaan, tidak menaruh kebencian antara kaum. Dan tidak membezakan manusia kerana bangsanya, keturunannya, hartanya, pangkatnya dan lain-lain. Antara satu dengan yang lain diperlakukan secara sama. (Al-’Adalatul Ijtima’iyyah fil Islam)

 

A) Adil Kepada Diri Sendiri.

1. Asas keadilan pada diri sendiri ialah iman, amal soleh dan akhlak mulia dan asas kezaliman pada diri sendiri ialah kufur, maksiat dan akhlak yang hina.

2. Hendaklah menjaga hak, keperluan dan kehormatan diri sendiri rohani dan jasmani. Dilarang terlibat dengan sesuatu yang boleh membinasakan diri sendiri.

 

Firman Allah Taala : "Dan belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan sikap bakhil) dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya." (QS. Al-Baqarah : 195)

 

3. Hendaklah berani mengakui kesalahan dirinya sendiri dan bersedia menerima akibat daripada kesalahan tersebut.

4. Mempunyai ilmu tentang yang benar (hak) dan yang salah (batil), tentang yang baik dan yang buruk, tentang yang berguna dan sia-sia.

5. Menyedari akan hakikat diri dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT memohon perlindungan daripada sebarang kezaliman.

 

B) Adil Kepada Orang Lain.

1. Berasaskan penyempurnaan hak mereka dan melaksanakan hukum secara saksama antara mereka.

2. Membela orang yang teraniaya dan menghukum orang yang bersalah.

 

Contoh keadilan kepada orang lain, ialah :

1- Keadilan melaksanakan hukum.

2- Keadilan memutuskan perkara.

3- Kewajipan berlaku adil antara isteri.

4- Berlaku adil dengan anak.

5- Berlaku adil dalam ucapan dan penyaksian.

6- Keadilan antara golongan yang bertengkar.

7- Berlaku adil dengan musuh.

 

3. Asas bagi melaksanakan keadilan kepada orang lain ialah:

a. Iman dan takwa kepada Allah.

b. Amanah, bertanggungjawab dan Ihsan.

c. Ilmu bersumberkan Al-Quran, hadis, Ijma' dan qias.

d. berpandukan kaedah atau prosedur melaksanakan hukum atau undang-undang.

 

Tanpa berpegang pada asas (prinsip) yang tersebut manusia boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kebendaan sehingga mereka sanggup melakukan kezaliman dalam pelaksanaan keadilan iaitu:

1. Orang yang lemah tidak mendapat haknya dan orang yang kuat merampas hak orang yang lemah.

2. Orang yang bersalah bebas daripada hukuman dan orang yang tidak bersalah teraniaya.

3. hukum tidak berlandaskan kebenaran dan keadilan, tetapi berlandaskan kekuasaan dan kepentingan tertentu.

 

Antara sifat-sifat HAKIM yang adil ialah:

1. Mempunyai iman yang kukuh dan bertakwa kepada Allah SWT.

2. Menguasai ilmu syariat dan ilmu Aqliah.

3. Melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

4. Ikhlas dan bertawakal kepada Allah SWT.

5. Berperibadi mulia iaitu tidak mementingkan diri sendiri, berperikemanusiaan, belas Ihsan, bijak dan tegas serta berani menghadapi risiko.

 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Hakim itu ada tiga jenis, dua daripadanya masuk ke neraka dan satu daripadanya masuk ke syurga. Lelaki (hakim) yang tahu perkara yang benar, lalu ia menghukum berlandaskan kebenaran tersebut, maka ia masuk ke syurga. Dan lelaki (hakim) yang tidak tahu perkara yang benar, lalu ia menjalankan hukuman atas kejahilannya, maka ia masuk ke neraka.

 

Olahan oleh:

MOHD MUHAIMIN MAZLAN

PEGAWAI PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa