Jom Duduk

Posted in Kolumnis

JOM 'DUDUK' DI BULAN ZULKAEDAH...

 

Sebenarnya bercadang menyentuh tajuk ini sebelum 01 Zulkaedah. Cuma apabila ketika itu masih dalam mood 'Hari Raya', maka baru ada kesempatan menulis tentangnya.

 

Zulkaedah (ذو القعدة) merupakan bulan ke-11. Diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap duduk di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan rangkaian bulan-bulan haram. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram.

 

Setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam apatah lagi, hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini. Eratkan silaturrahim, yang bermusuh damaikanlah, yang berdendam berlapanglah dan yang renggang rapatkanlah.

 

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulama' mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah baginda di bulan Zulkaedah ini.

 

Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR : Muslim)

 

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Menurut Imam al-Razi rmh : Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat, dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (Al-Razi, jil.16,ms. 53)

 

Antara peristiwa yang berkaitan 'Tuntutan Meninggalkan Sengketa' dalam bulan ini ialah;

 

1. Perjanjian Hudaibiyah.

Peristiwa ini terjadi pada penghujung tahun ke 6 Hijrah. Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dari memasuki Makkah untuk umrah. Melalui perjanjian itu, Rasulullah SAW akhirnya dibenarkan memasuki Makkah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

 

2. Bai'at Bai'atur Ridwan.

Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman r.a ke Makkah tetapi telah ditahan oleh orang Quraisy dan dikhabarkan telah dibunuh oleh mereka. Rasulullah SAW mengajak para sahabat berbai'at di Bai'atur Ridhwan untuk bersatu padu menentang mereka. Setelah pembai'atan tersebut barulah datang berita bahawa khabar terbunuhnya Saidina Uthman r.a itu tidak benar.

 

Ayuh kita duduk bersama, lupakan segala sengketa sempena bulan Zulkaedah yang mulia. Jangan keras kepala dan pentingkan kelompok dan diri sendiri sahaja.

 

Olahan oleh:

MOHD MUHAIMIN MAZLAN

PEGAWAI PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa