ahmad-yakobPasca banjir: Rumah tiga bilik sebagai ganti
SINAR HARIAN, 18 Januari 2015

KUALA LUMPUR - Sebanyak 600 unit rumah akan dibina di Manek Urai, Kelantan dalam masa terdekat bagi menggantikan kediaman yang musnah akibat bencana banjir, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Yaakob.

"Kerajaan Kelantan melalui tabung ini (Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan) dapat putuskan (kerajaan negeri) dapat bina 600 unit rumah yang mempunyai tiga bilik, iaitu mempunyai keluasan 800 kaki persegi.

"Buat masa ini, kita masih menyenarai data-data rumah-rumah yang rosak untuk dibaiki semula," katanya selepas melancarkan Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, sebanyak 2,374 rumah musnah akibat banjir yang melanda negeri itu, 600 daripadanya akan dibina dahulu.

"Manakala rumah yang selebihnya akan dibina dengan jalinan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Bersama Bantuan Banjir," ujarnya lagi.

Menurut Ahmad, batu asas untuk membina 600 unit rumah tersebut akan dilancarkan pada 22 Januari ini. "Kita akan letak batu asas pada tarikh tersebut, di atas tanah seluas sembilan ekar," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, menteri besar itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin mengenai nasib rakyat Kelantan.

"Saya ucapkan penghargaan, setingginya kepada semua pihak, yang telah memberi sumbangan bantuan banjir kepada Tabung Amanah Bencana Negeri Kelantan, khususnya membantu rakyat Kelantan bagi tujuan pemulihan semula Kelantan selepas banjir," katanya.

Tabung bencana tersebut telah berjaya mengutip sebanyak RM8.1 juta selepas dilancarkan pada 29 Disember 2014 , di bawah subseksyen Akta Acara Kewangan 1957.

Tabung ini bertujuan untuk mengumpul dana bantuan segera daripada pelbagai sumbangan kewangan seperti kerajaan persekutuan, badan-badan berkanun, syarikat-syarikat swasta, NGO dan orang ramai. Hasil sumbangan ini akan digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir dari sudut bantuan segera berupa makanan, pakaian dan keperluan asas harian termasuklah bagi membina rumah yang telah rosak akibat banjir.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa